Rabu, 22 Jun 2011

Harga Emas Kembali Meningkat

Bursa mungkin meningkat

KUALA LUMPUR 19 Jun — Harga saham di Bursa Malaysia diramal melantun minggu depan ekoran sedikit kegiatan membeli saham murah dalam pasaran ketika terdapat kebimbangan pertumbuhan perlahan ekonomi global.
Ketua penyelidikan runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan berkata, meskipun sesi dagangan menyaksikan jumlah dagangan yang rendah minggu lepas, tetapi belian secara berhemah dijangkakan minggu depan.
"Kami menjangka lantunan berterusan lebih tinggi sehingga paras 1,560-1,570 mata dengan adanya kegiatan membeli saham murah ketika pasaran berkembang berikutan kejatuhan saham-saham di kebanyakan negara maju," kata beliau.
Beliau berkata, selagi penurunan tidak mencetuskan jualan panik, pihaknya mengekalkan pandangannya bahawa sebarang penurunan merupakan peluang untuk membeli kerana pemulihan dianggap teguh, walaupun agak perlahan.
"Hakikat bahawa Dow Jones ditutup di bawah paras 12,000mata dan menyaksikan kejatuhan tanpa henti bagi minggu ketujuh (kejatuhan paling lama sejak 30 September, 2002) mungkin membayangkan pasaran dinilai terlalu rendah dalam jangka pendek berikutan lebihan jualan yang serius meskipun tiada sebarang kemuncak jualan untuk menyarankan had terendah sebenar dalam jangka sederhana," jelasnya.
Pasaran dijangka terus terjejas akibat isu hutang Greece.
Selain itu, program suntikan mudah tunai kedua (QE2) yang bakal tamat menjelang akhir Jun juga menjadi pemangkin terbesar untuk mempengaruhi pasaran dalam jangka terdekat manakala pakar ekonomi percaya Federal Reserves (Fed) tidak merancang memperkenal QE3, katanya.
Di dalam negara, para pelabur tempatan akan didorong oleh inisiatif Program Transformasi Ekonomi terbaharu yang diumumkan baru-baru ini serta jangkaan tentang kemungkinan perjanjian perdagangan bebas ditandatangani dengan Timur Tengah, Asia Selatan dan negara-negara Amerika.
Bagi minggu baru berakhir, FBM KLCI diniagakan dalam jajaran kecil sebelum mengakhiri minggu ini pada paras lebih tinggi kerana sokongan belian di kaunter-kaunter mewah terpilih seperti Maybank dan Petronas Gas.
FBM KLCI mencatatkan penutupan 7.24 mata lebih teguh pada 1,563.43.
Indeks Kewangan melonjak 119.12 mata kepada 14,747.07, Indeks Perusahaan meningkat 13.32 mata kepada 2,773.78 dan Indeks Perladangan naik 31.2 mata kepada 7,887.69.
Indeks FBM Emas mengukuh 25.84 mata kepada 10,739.46 manakala Indeks FBM Ace turun 12.24 mata kepada 4,243.83.
Jumlah dagangan minggu ini bertambah kepada 4.121 bilion saham bernilai RM7.805 bilion daripada 3.674 bilion saham bernilai RM6.608 bilion minggu lepas.
Pasaran utama menyaksikan penyusutan jumlah dagangan kepada 2.957 bilion unit bernilai RM7.585 bilion daripada 2.606 bilion unit bernilai RM6.433 bilion minggu lalu.
Pasaran ACE mencatatkan peningkatan jumlah dagangan kepada 869.109 juta saham bernilai RM169.258 juta daripada 790.91 juta unit bernilai RM117.53 juta sebelumnya.
Waran susut jumlahnya kepada 232.483 juta saham bernilai RM33.842 juta daripada 266.08 juta saham bernilai RM52.354 juta Jumaat lepas. — Bernama

sumber :utusanonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan