Rabu, 12 Oktober 2011

RHB Islamic Tambah Cawangan Ar-Rahnu


RHB Islamic tawar khidmat Ar-Rahnu di tujuh cawangan


KUALA TERENGGANU 10 Okt. - RHB Islamic Bank Bhd. merancang menambah perkhidmatan Ar-Rahnu di tujuh cawangan bank itu sebagai permulaan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rani Lebai Jaafar berkata, sasaran itu akan direalisasikan secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini sejajar dengan sinergi perniagaan di peringkat kumpulan.
Abdul Rani berkata, tujuh cawangan terbabit ialah Bandar Baru Bangi, Taman Setia Tropika, Johor Bahru; Taman Flora Utama, Batu Pahat; Dataran Glomac, Kelana Jaya; Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur; Sungai Petani, Kedah dan Shah Alam.
"Kami bercadang memperluaskan produk ini setelah melihat permintaan terhadapnya makin bertambah dari semasa ke semasa dan berpotensi untuk dimajukan," katanya yang juga Pengarah Urusan institusi perbankan itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran cawangan produk pinjaman pajak gadai Islam (Ar-Rahnu-i) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kumpulan Perbankan RHB Wilayah Pantai Timur, Nazri Othman; Ketua Perbankan Runcit, RHB Islamic Bank, Zulkhairi Zabiri dan Pengurus RHB Islamic cawangan Kuala Terengganu, Wan Maznah Wan Yusof.
Kuala Terengganu merupakan cawangan kedua menyediakan produk itu selepas Kubang Kerian, Kota Bharu pada April lalu.
Mengulas mengenai prestasi yang dicatatkan oleh RHB Islamic Bank cawangan Kubang Kerian selaku tapak permulaan produk Ar-Rahnu, Abd. Rani berkata, sebanyak RM1.30 juta pembiayaan telah dikeluarkan manakala jumlah gadaian emas pula sebanyak RM1.84 juta.
"Secara purata, jumlah pembiayaan dan gadaian emas adalah antara RM258,000 hingga RM369,000 bagi setiap bulan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah golongan yang bekerja sendiri, peniaga kecil dan usahawan wanita yang ramai di negeri ini menjadi faktor penting pembukaan cawangan itu di Kuala Terengganu bagi memudahkan pelanggannya itu mendapat pembiayaan alternatif dan modal pusingan.
"Saya yakin pembiayaan ini akan mendapat tempat di hati warga Terengganu kerana, kajian mendapati, masyarakat Islam terutamanya, kini lebih cenderung menggunakan pembiayaan itu kerana ia tidak berasaskan riba," ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya turut menawarkan pakej istimewa kepada pelanggan Ar-Rahnu melalui penggabungan produk itu dengan produk wasiat yang inovatif.
"Para pelanggan kami boleh menikmati jumlah pembiayaan sehingga 75 peratus daripada jumlah gadaian emas sekiranya mereka memohon produk wasiat pada masa yang sama berbanding jumlah pembiayaan sehingga 70 peratus sahaja tanpa produk wasiat," katanya.

sumber:  utusanonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan