Jumaat, 18 Februari 2011

Melabur Emas Di Pahang


Raub Gold Mining labur RM300 juta

RAUB 17 Feb. - Syarikat perlombongan, Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. (Raub Gold Mining) melabur sebanyak RM300 juta bagi menjalankan operasi perlombongan emas di daerah ini sejak tiga tahun lalu.
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Andrew Kam Tai Yeo berkata, syarikat itu akan meningkatkan pelaburan bagi mengiatkan usaha cari gali dan melombong emas di daerah Raub.
''Raub yang terkenal dengan pengeluaran emas sejak seabad lalu, masih mempunyai banyak simpanan emas yang berpotensi untuk diteroka," katanya.
Beliau berucap pada majlis sambutan Tahun Baru Cina 1Malaysia anjuran RAGM di Dataran Raub malam tadi. Turut berangkat hadir Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Pada majlis itu, Sultan Pahang juga berkenaan mengurniakan sumbangan kepada para pelajar cemerlang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 Daerah Raub.
Andrew berkata, Raub Gold Mining mempunyai perancangan strategik untuk mengeksploit pengeluaran 'raja logam' itu, sekali gus menjana hasil kepada kerajaan negeri.
''Syarikat kami telah mendapat kawasan konsesi seluas 200 hektar lombong emas di Bukit Koman yang mempunyai seramai 200 pekerja dengan hampir semuanya penduduk tempatan.
''Berikutan operasi syarikat yang semakin berkembang maju bilangan, pekerja daripada penduduk tempatan akan ditambah sehingga 400 orang," jelasnya.
Tambah beliau, Raub Gold Mining membawa pakar dan teknologi dari Australia untuk mencari emas di kawasan lombong itu yang ternyata dapat meningkatkan kemahiran dan kepakaran di kalangan pekerja tempatan.
Tai Yeo, perlombongan emas di Raub yang diterajuinya telah membantu kerajaan negeri menarik pelaburan asing ke Pahang terutama dalam sektor perlombongan emas.
Selain itu beliau berkata, pihaknya akan menghantar lebih ramai rakyat tempatan ke luar negara bagi mengikuti kemahiran melombong dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga pakar di negara ini.
Tai Yeo berkata, syarikat tersebut merancang membina kilang memproses dan menggerudi emas di kawasan terbabit.
Raub Gold Mining yang ditubuhkan pada 2008 merupakan anak syarikat Peninsular Gold Limited yang ditubuhkan di United Kingdom.
''Ia telah disenaraikan di Bursa Saham London dan menjadi syarikat ternama di peringkat global,'' katanya.
Beliau berkata, kehadiran syarikat itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan Pahang Barat terutama di Raub.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan