Rabu, 23 Februari 2011

Saham Jatuh, Emas Naik

Pasaran saham Asia jatuh

HAMPIR keseluruhan pasaran saham Asia semalam meneruskan aliran kejatuhan masing-masing dalam pada harga minyak mentah dulu kekal di paras tertinggi dalam tempoh dua tahun susulan tindakan Muamar Gaddafi, pemimpin negara pengeksport utama minyak, Libya, memberi amaran beliau akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

Di Jepun, Indeks Nikkei 225 jatuh 0.80 peratus atau 85.60 mata kepada 10,579.10 mata, manakala Hong Kong pula menyusut 0.36 peratus atau 83.91 mata kepada 22,906.90, dan Sydney jatuh 0.22 peratus atau 10.8 mata kepada 4,845.9.
Indeks Straits Times Singapura merosot 0.57 peratus atau 17.27 mata kepada 3,001.85. Bagaimanapun, Indeks Komposit Shanghai China meningkat 0.25 peratus atau 7.11 mata kepada 2,862.63 susulan aktiviti pengambilan untung selepas mengalami kejatuhan teruk pada Selasa lalu.

Saham berkaitan perlombongan terus menjadi tarikan di sebalik peningkatan harga emas susulan pelabur lebih cenderung membuat pelaburan dalam komoditi itu di tengah-tengah kebimbangan berhubung inflasi dan ketegangan di Afrika Utara dan Asia Barat.

Harga emas tutup pada paras AS$1,400.00 hingga AS$1,401.00 satu auns.
Peniaga terus mengalami kerugian akibat kejatuhan teruk hari sebelumnya berikutan meningkatnya kebimbangan mengenai kekurangan bekalan minyak mentah di seluruh dunia.

Gaddafi yang mengarahkan penyokongnya untuk turut mengadakan tunjuk perasaan, memberi amaran beliau akan berjuang hingga mati untuk terus kekal menguasai Libya yang dipimpinnya sejak 1969.
“Libya negara saya,” katanya dan menambah “Saya akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir.”

Penunjuk perasaan kini semakin merebak ke beberapa kawasan di rantau itu, termasuk di Maghribi, Yaman, Bahrain dan Iran.

Ketegangan itu menyebabkan harga minyak mentah dunia terus kekal tinggi dengan kontrak April minyak mentah Brent meningkat 69 sen kepada AS$106.47 setong meskipun ia susut sedikit daripada paras tertingginya, iaitu AS$108 setong dalam dagangan di Eropah Selasa lalu.

Bagaimanapun, peningkatan harga minyak seterusnya mungkin dapat dibendung selepas Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Naimi berkata, anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) campur tangan bagi memenuhi sebarang pengurangan bekalan berikutan ketegangan itu. – AFP 

Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan