Selasa, 21 Disember 2010

ASB Meningkat 0.2 sen

Agihan ASB 8.75sen... Sumber MyMetro



LEBIH tujuh juta pemegang saham yang melanggan 82.72 bilion unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bakal menerima durian runtuh berikutan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pemberian dividen 7.5 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010.
Agihan pendapatan itu lebih tinggi berbanding 7.3 sen seunit sebelum ini, manakala bonus 1.25 sen kekal sama.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata peruntukan pengagihan pendapatan berkenaan membabitkan pembayaran RM5.93 bilion, meningkat 22 peratus berbanding RM4.86 bilion yang dibayar tahun lalu, manakala bagi bonus, sebanyak RM603.34 juta dibayar tahun ini.
Katanya, sehingga 17 Disember lalu, ASB meraih pendapatan kasar RM6.58 bilion yang diperoleh hasil penjualan saham dalam syarikat dengan sumbangan RM2.78 bilion atau 42 peratus daripada pendapatan kasar terbabit.

“Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat terbabit pula menyumbang RM3.27 bilion atau 50 peratus daripada pendapatan kasar, manakala selebihnya RM530 juta antaranya diperoleh menerusi pelaburan dalam instrumen jangka pendek,” katanya ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2010 di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Beliau berkata, pembayaran agihan pendapatan dan bonus ASB itu akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan setiap pemegang unit.

“Sehubungan itu, semua urus niaga ASB di Ibu Pejabat, pejabat dan ejen ASNB ditangguhkan kelmarin hingga 2 Januari tahun depan. Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASB bermula 3 Januari tahun depan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan