Isnin, 21 Mac 2011

Adakah harga emas akan meningkat?

Bursa jangka dagangan tinggi

KUALA LUMPUR 20 Mac - Saham-saham di Bursa Malaysia berkemungkinan diniagakan lebih tinggi minggu depan ekoran sentimen yang lebih baik dalam pasaran-pasaran ekuiti global selepas negara-negara kaya Kumpulan Tujuh (G-7) bersetuju melaksanakan campur tangan bersama untuk membendung kenaikan mata wang Jepun.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan berkata, FTSE Bursa Malaysia (FBM) KLCI mungkin bergerak dalam jajaran 1,500 hingga 1,520 manakala pelabur beransur-ansur mengumpul saham-saham murah apabila jualan besar-besaran dan aliran berita negatif semakin reda.
"Hakikat bahawa Bank of Japan mengambil tindakan dengan program pembelian aset besar-besaran dan rancangan G-7 untuk melaksanakan campur tangan terselaras untuk menstabilkan yen merupakan perkembangan positif bagi pasaran saham itu," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan sejarah jualan besar-besaran ekoran sesuatu peristiwa seperti gempa bumi Kobe dan serangan 9/11 yang menyeret turun FBM KLCI sebanyak lapan peratus dalam tempoh empat minggu tetapi diikuti oleh pemulihan yang sama pantasnya dalam lapan minggu, pembetulan yang berlaku baru-baru ini mungkin keterlaluan.
Sekarang tiba masanya untuk mengenal pasti saham berkualiti dan membelinya semasa ia turun, katanya.
"Tambahan pula, ada kemungkinan besar kenaikan kadar faedah akan ditangguhkan dalam mesyuarat monetari akan datang apabila Bank Negara Malaysia menilai kesan gempa bumi Jepun ke atas pemulihan ekonomi tempatan," kata beliau.
"Keseluruhannya, krisis Jepun itu seharusnya merupakan perkembangan positif bagi bahan-bahan binaan tempatan, seterus memberikan manfaat kepada sektor kayu dan keluli, ketika Jepun merancang pembinaan semula.
"Bagaimanapun, kami masih enggan mengambil risiko bagi sektor elektrik dan elektronik serta pelancongan dalam jangka terdekat ini disebabkan oleh kesan kekurangan komponen import dan pelancong dari Jepun," tegasnya.
Menurut Dr Nazri ekonomi Malaysia dijangka agak berdaya tahan (terhadap harga minyak yang melebihi AS$100 setong) kerana sektor minyak dan gas menyumbang 30 peratus kepada pendapatan pembuatan tempatan dan 10 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Minggu ini, FBM KLCI pulih 8.27 mata kepada 1,503.89 daripada 1,495.62 ekoran langkah G-7, setelah menerima bahang daripada kejatuhan dalam pasaran-pasaran serantau berikutan bencana gempa bumi dan tsunami yang dahsyat di Jepun.
Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas naik 43.55 mata kepada 10,271.12 daripada 10,227.57, Indeks FTSE Bursa Malaysia Ace turun 65.89 mata kepada 3,986.16 daripada 4,052.05 dan Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 mengukuh 14.75 mata kepada 10,908.30 daripada 10,893.55.
Indeks Kewangan meningkat 17.12 mata kepada 13,564.37 daripada 13,547.25, Indeks Perladangan menambah 69.25 mata kepada 7,680.31 daripada 7,611.06 dan Indeks Perusahaan naik 25.49 mata kepada 2,785.03 daripada 2,759.54.
Jumlah dagangan minggu ini susut kepada 5.097 bilion saham bernilai RM7.738 bilion daripada 5.50 bilion saham bernilai RM8.50 bilion.
Pasaran Utama mencatatkan pengurangan jumlah dagangan kepada 4.069 bilion saham bernilai RM7.561 bilion daripada 4.42 bilion unit bernilai RM8.33 bilion.
Pasaran ACE menyaksikan peningkatan jumlah dagangan kepada 472.088 juta bernilai RM80.807 juta daripada 353.06 juta saham bernilai RM44.72 juta.
Waran susut jumlahnya kepada 532.850 juta unit bernilai RM92.459 juta daripada 698.220 juta unit bernilai RM127.630 juta. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan