Khamis, 10 Mac 2011

SRR: BNM dijangka naikkan 1%


KUALA LUMPUR 10 Mac - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka meningkatkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada satu peratus mata untuk mengelakkan berlaku risiko dalam makroekonomi dan ketidakseimbangan kewangan.
AmResearch dalam nota penyelidikannya berkata, di sebalik kenaikan dalam SRR, bank pusat itu diramal mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus untuk kali keempat.
Keputusan itu dijangka dibuat pada Mesyuarat Jawatankuasa Monetari BNM, esok.
Firma penyelidikan tersebut menambah, pendekatan SRR digunakan dalam polisi monetari itu untuk mengekang kebimbangan lebihan kecairan dalam sistem kewangan negara.
''Jika SRR digunakan, BNM dijangka menyerap antara RM6 bilion dan RM7 bilion daripada lebihan kecairan dalam sistem kewangan yang kini dianggarkan memiliki sebanyak RM250 bilion,'' katanya dalam nota penyelidikan itu.
AmResearch percaya kenaikan SRR akan memberi impak minimum memandangkan kecairan dan keupayaan pinjaman dalam sistem perbankan tidak terjejas.
Mengulas mengenai pengekalan kadar faedah itu, firma tersebut berkata, tidak seperti negara-negara jiran, Malaysia masih mengekalkan penggunaan kawalan harga dan subsidi untuk mengurangkan impak kenaikan minyak mentah dunia dan komoditi-komoditi lain.
Firma penyelidikan tersebut tidak menolak OPR mungkin dikekalkan kerana BNM telah meningkatkan kadar faedah sebanyak tiga kali dari Mac 2010 sebelum mengekalkan kepada 2.75 peratus sejak Julai tahun lalu.
''Keputusan lebih ke depan oleh BNM telah menyebabkan kadar inflasi kekal rendah meskipun pada waktu itu kerajaan meneruskan rasionalisasi subsidi dan kenaikan harga makanan dan komoditi dunia,'' ujarnya.
AmResearch turut meramalkan harga pasaran minyak mentah dunia akan mengalami pembetulan kerana mengambil kira lonjakan sedia ada sukar dikekalkan.
Alasannya ialah, permintaan bagi emas hitam itu semakin merosot, tidak menjangkaui jangkaan pasaran-pasaran kewangan.
Malah, AmResearch membayangkan sekiranya kenaikan harga minyak itu berterusan dalam jangka panjang, ia akan menjejaskan kestabilan fiskal khususnya bagi Malaysia.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan perlu meningkatkan jumlah subsidi kepada RM4 bilion sekiranya kenaikan harga minyak semasa kekal.
''Jika ini berlaku (kenaikan berterusan), ia akan mengakibatkan jumlah defisit fiskal naik sebanyak 0.5 peratus berbanding sasaran awal 5.4 peratus,'' katanya.
Bagaimanapun, kenaikan harga minyak itu akan menambah pendapatan minyak bagi kerajaan.
''Berdasarkan data terdahulu, setiap kenaikan AS$10 (RM30.30) setong akan meningkatkan perolehan sebanyak RM500 juta," ujar beliau.
Sumber : Utusanonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan