Khamis, 17 Mac 2011

Emas berguna ketika krisis

Mesin ATM bank terbesar Jepun ditutup

TOKYO 17 Mac - Mesin juruwang automatik (ATM) yang tidak berfungsi selama dua jam di bank kedua terbesar di Jepun hari ini meningkatkan lagi tekanan ke atas penduduk Tokyo, setelah berjuta-juta penduduk bertindak menyimpan stok barang keperluan dan duduk di dalam rumah disebabkan krisis nuklear di negara ini.
Urus niaga yang begitu banyak di beberapa cawangan Bank Mizuho menyebabkan beribu-ribu ATM bank itu ditutup secara mendadak, satu lagi insiden menggambarkan keadaan kelam-kabut di sebuah negara yang lazimnya dikenali kerana ketepatan dan kecekapannya.
Walaupun ATM itu beroperasi semula kira-kira dua jam kemudian, kerosakan itu memburukkan lagi keadaan tidak selesa dan tidak menentu di kalangan warga Tokyo, sementara pihak berkuasa meneruskan usaha untuk mencegah malapetaka di sebuah kompleks loji nuklear di Fukushima, 240 kilometer ke utara ibu negara.
Ramai antara 13 juta penduduk bandar raya ini sudah pun menyimpan stok makanan, tidak keluar rumah atau pergi ke tempat lain, manakala sesetengahnya membeli emas, satu bentuk simpanan selamat semasa krisis, menyebabkan harganya melonjak sehingga AS$1.50 (RM4.50) seaun di Tokyo.
Kawasan yang selalunya sesak dengan pekerja pejabat yang memenuhi restoran sushi dan gerai mi kini sunyi sepi.
Banyak sekolah ditutup dan syarikat membenarkan pekerja duduk di rumah, kerana bekalan elektrik yang selalu terputus memaksa perkhidmatan kereta api dihadkan.
Di luar sebuah cawangan Mizuho di daerah Akasaka, Tokyo, enam kakitangan berdiri dalam cuaca sejuk sambil memohon maaf kepada pelanggan.
"Insiden ini mengajar saya supaya membawa sekurang-kurangnya sedikit wang tunai," kata seorang ejen insurans, Hiromi Sugita.
Mizuho berkata, masalah itu berpunca daripada urus niaga yang terlalu banyak di beberapa cawangan yang tidak dikenal pasti.
Walaupun ATM itu kembali beroperasi, pelanggan masih tidak boleh melakukan pengeluaran mata wang asing dan urus niaga lain. - Reuters

sumber: utusanonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan