Harga komoditi utama kekal tinggi
Berita Harian Online
Oleh Sophia Ahmad
2011/01/15
HARGA komoditi utama seperti minyak mentah, emas dan logam dijangka kekal tinggi susulan peningkatan permintaan khususnya daripada negara ekonomi baru muncul serta kejadian bencana alam seperti banjir khususnya di pengeluar utamanya seperti Australia. Ketua Penyelidik dan Strategi Pelaburan Citibank Malaysia, Steven Yong, berkata peningkatan itu juga antara lain disebabkan penurunan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang menjadi nilai rujukan urus niaga komoditi berkenaan.
Walau begitu Yong tidak menjangka harga minyak akan melonjak ke paras tinggi sejarahnya iaitu AS$147 setong memandangkan ekonomi global kini masih kukuh seperti sebelumnya.
Mengenai ekonomi Malaysia, Yong menjangka, ia akan berkembang pada kadar lima peratus tahun ini dan 6.1 peratus pada 2012.
Beliau berkata, sektor eksport pula dijangka menyaksikan pertumbuhan perlahan pada separuh pertama tahun ini iaitu pada kadar empat peratus sebelum melonjak semula pada separuh kedua.
Yong berkata, ekonomi Malaysia bagi keseluruhan tahun lalu dijangka berkembang pada kadar tujuh peratus.
Untuk tempoh selanjutnya, kata Yong, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong pemulihan persekitaran pelaburan khususnya dengan pelaksanaan projek Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 2011.
"Pemulihan pelaburan langsung asing yang dirangsang oleh hubungan bertambah baik Malaysia-Singapura, memberi prospek positif bagi pertumbuhan," katanya.
Mengenai kadar faedah, Yong menjangka, Bank Negara Malaysia akan menaikkan penanda aras kadar faedah pinjaman itu sebanyak 0.5 peratus pada separuh kedua tahun ini.
Mengenai kedudukan pasaran saham tempatan yang melonjak tinggi baru-baru ini, Yong berkata, kenaikan itu adalah kukuh berdasarkan asas ekonomi serta kewangan syarikat, justeru pembetulan pasaran secara mendadak dijangka tidak akan berlaku.
Bagaimanapun, katanya, faktor luaran adalah suatu yang perlu diperhatikan kerana ia juga boleh mempengaruhi pergerakan pasaran saham tempatan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan