Isnin, 23 Mei 2011

Harga Emas Diramal Stabil

Pergerakan saham diramal lebih rendah

KUALA LUMPUR 22 Mei - Bursa Malaysia diramalkan lebih rendah minggu depan dengan indeks asas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka bergerak pada tahap 1,530 mata hingga 1,540 mata.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan, berkata kadar inflasi yang semakin meningkat, yang merupakan permulaan bagi kitaran kenaikan kadar faedah, ledakan gelembung komoditi yang tidak dijangka dan sesi semalaman yang tidak memberangsangkan di Wall Street berkemungkinan menjadi kuasa penting mempengaruhi hala tuju pasaran. "Keadaan ekonomi juga terus tidak menentu bagi Kumpulan 3 (AS, Eropah dan Jepun) berikutan peletakan jawatan mengejut Pengerusi Tabung Kewangan Antarabangsa minggu lepas.
"Kami menjangka pelabur memberikan lebih perhatian kepada jangka pendek dengan tumpuan kepada kaunter-kaunter berharga rendah, saham-saham mewah yang kukuh dan menghasilkan pulangan tinggi serta saham-saham kegemaran semasa," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, katanya, pasaran tempatan mungkin beroleh manfaat daripada kedudukan ringgit serta harga minyak dan emas yang stabil.
Nazri berkata pasaran tempatan mungkin mendapat sokongan daripada cadangan penyenaraian Felda Sugar, pelancaran Pelan Induk Sektor Kewangan dan permulaan pusingan ketiga penggabungan sektor perbankan bulan depan.
Di samping itu, berita yang mengatakan syarikat gergasi pembinaan tempatan MMC Corp merancang untuk menyenaraikan unit tenaga dan pelabuhannya dengan anggaran permodalan pasaran hingga RM14 bilion, akan juga mencetuskan sedikit kemeriahan, katanya.
Bagi minggu baru berakhir, FBM KLCI diniagakan lebih teguh ekoran minat belian berterusan di kaunter-kaunter mewah dan kaunter-kaunter berharga rendah.
Pasaran ditutup pada Selasa kerana sambutan Hari Wesak.
FBM KLCI mengakhiri dagangan minggu ini 0.29 mata lebih tinggi pada 1,541.03.
Indeks Kewangan meningkat 16.41 mata kepada 14,393.16 dan Indeks Perusahaan naik 7.11 mata kepada 2,743.46.
Indeks Perladangan melonjak 181.87 mata kepada 7,732.07 dan Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas bertambah 17.84 mata kepada 10,628.58.
Jumlah dagangan minggu ini mengecil kepada 3.56 bilion saham bernilai RM6 bilion daripada 4.71 bilion saham bernilai RM6.91 bilion minggu lepas.
Pasaran utama mencatatkan penyusutan jumlah dagangan kepada 2.56 bilion saham bernilai RM5.77 bilion daripada 3.44 bilion saham bernilai RM6.59 bilion Jumaat lepas.
Dalam pasaran ACE jumlah dagangan susut kepada 621.67 juta unit bernilai RM149.74 juta daripada 856.94 juta unit bernilai RM221.53 juta sebelumnya.
Waran juga mengecil jumlahnya kepada 362.48 juta saham bernilai RM67.94 juta daripada 369.45 juta saham bernilai RM68.82 juta Jumaat minggu lepas.
- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan