Khamis, 12 Mei 2011

Saham Emas Dijangka Menurun

Saham alami aliran menyusut minggu ini

KUALA LUMPUR 8 Mei - Harga saham di Bursa Malaysia berkemungkinan terus mengalami aliran menyusut minggu ini dengan kenaikan kadar faedah dan penjualan besar-besaran dalam komoditi dijangka memberi kesan ketara terhadap bursa tempatan.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan berkata, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meneruskan pembetulan menurunnya untuk menguji paras sokongan psikologi 1,500.

"Kami percaya berita lama yang kurang memberangsangkan akan kembali dengan para pelabur bimbang mengenai kemelesetan berganda global dan krisis hutang negara di negara maju," katanya.
Semasa minggu yang baru berakhir, dilaporkan indeks Reuters-Jefferies CRB, penanda aras komoditi global, turun hampir lima peratus, yang merupakan penurunan mingguan terbesar sejak akhir 2008.
Ini mempengaruhi sentimen pelabur di pasaran Asia.
Bursa tempatan juga mengalami aliran menurun dengan kelemahan di pasaran luar, yang ragu-ragu tentang pertumbuhan ekonomi dunia dengan data pekerjaan Amerika Syarikat yang teruk serta harga komoditi yang menjunam.

Pada Khamis lalu, Bank Negara Malaysia, menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 basis mata kepada 3.00 peratus berkuat kuasa serta merta, manakala Keperluan Rizab Berkanun (SRR) akan meningkat daripada 2.00 peratus kepada 3.00 peratus berkuat kuasa 16 Mei.
Ahli ekonomi berkata, langkah itu bertujuan mengimbangi risiko peningkatan tekanan inflasi dan menjangka lebih banyak kenaikan kadar faedah pada tahun ini.
Pada Jumaat, bursa tempatan ditutup dengan pelabur berhati-hati tentang peningkatan tekanan terhadap inflasi.
Nazri berkata, selain kenaikan kadar faedah, peningkatan dalam dolar Amerika dan kelemahan ringgit, mungkin juga menyumbang tekanan menurun terhadap bursa tempatan.
"Mengenai strategi minggu ini, kami mencadangkan pelabur agresif kami supaya menangguhkan jualan dalam niaga hadapan indeks manakala pelabur konservatif perlu kekal dengan kelas aset defensif (seperti bon dan utiliti pulangan tinggi) dan menambah pegangan tunai mereka," katanya.
Bagi asas minggu, indeks utama susut sebanyak 19.45 mata kepada 1,515.5 daripada 1,534.95 pada Jumaat sebelumnya.

Indeks Kewangan berkurangan 87.41 mata kepada 13,951.75 daripada 14,039.16 sebelumnya. Indeks Perusahaan susut 73.71 mata kepada 2,718.66 daripada 2,792.37 pada Jumaat sebelumnya.
Indeks Perladangan turun 93.61 mata kepada 7,496.24 daripada 7,589.85 pada Jumaat sebelumnya.
Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas susut 132.14 mata kepada 10,443.95 daripada 10,576.09 sebelumnya manakala Indeks FTSE Bursa Malaysia Ace berkurangan 137.99 mata kepada 4,249.51 daripada 4,387.50.
Pasaran ditutup pada Isnin sempena Hari Pekerja.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 3.924 bilion saham bernilai RM5.45 bilion daripada 5.007 bilion saham bernilai RM4.901 bilion minggu sebelumnya.

Di pasaran utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 2.952 bilion saham bernilai RM5.217 bilion daripada 3.705 bilion saham bernilai RM6.139 bilion daripada sebelumnya.
Jumlah dagangan di pasaran ACE susut kepada 727.938 juta saham bernilai RM183.183 juta daripada 974.502 juta saham bernilai RM182.796 juta minggu sebelumnya.
Waran turun kepada 234.004 juta units bernilai RM44.087 juta daripada 310.393 juta unit bernilai RM61.455 juta sebelumnya. - BERNAMA

sumber: Utusanonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan