Khamis, 26 Mei 2011

Penipuan Skim Pelaburan Emas

Pelabur rugi RM4 juta ditipu

IPOH 25 Mei – Seramai 180 pelabur yang menyertai skim pelaburan emas dan rumpai laut kerugian RM4 juta selepas dua syarikat penganjur gagal membayar pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan.
Mereka yang terlibat dikatakan melabur antara RM4,900 hingga RM6,900 untuk membeli setiap lot/unit saham bagi pelaburan tersebut.
Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Lee Kon Yin berkata, daripada jumlah itu, 100 pelabur berasal dari negeri ini.
Sebelum ini katanya, syarikat terbabit yang beroperasi di seluruh negara berjanji untuk memulangkan wang pelaburan kepada pelabur terbabit.
“Namun sehingga kini, mereka langsung tidak dapat berjumpa dengan pengurus syarikat pelaburan di sini untuk mendapatkan penjelasan status pelaburan mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum skim pelaburan dua syarikat terbabit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Meru Raya di sini.
Memorandum diserahkan kepada Penolong Pegawai Siasatan SPRM Perak, Mohamad Hassan Zulkifili yang mewakili Pengarah SPRM negeri.
Sehubungan itu, Kon Yin berharap SPRM dapat mengambil tindakan terhadap dua syarikat itu yang menipu wang pelabur dengan menjanjikan pelabur mendapat keuntungan berlipat kali ganda daripada pelaburan emas dan rumpai laut.
Sementara itu, seorang pelabur yang hanya mahu dikenali sebagai Raj berkata, dia kerugian lebih RM200,000 setelah melabur dalam skim emas dan rumpai laut yang diperkenalkan oleh syarikat terbabit sejak awal 2007.
Katanya, dia menggunakan sebahagian wang persaraan berjumlah RM30,000 untuk membuat pelaburan awal setelah diperkenalkan oleh rakan-rakan yang menyertai skim tersebut dengan dijanjikan akan mendapat pulangan tiga peratus setiap bulan pada tahun pertama pelaburan.
“Masalah timbul pada tahun berikutnya apabila pihak syarikat memberi alasan tidak dapat membayar pulangan pelaburan yang dijanjikan sehingga ke hari ini,” ujarnya

sumber: Utusanonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan