Rabu, 12 Oktober 2011

Dinar Emas Rabbani


Rabbani kini sedang giat mempromosikan satu lagi produk baru mereka iaitu Dinar Emas Rabbani.
Azadan memberitahu, ini merupakan cara terbaik mereka untuk mendidik peminat serta umat Islam di negara ini dalam membuat pelaburan pada masa hadapan.
"Penjualan Dinar Emas Rabbani ini merupakan satu lagi cabang perniagaan kumpulan Rabbani selepas agensi perlancongan.

"Walaupun baru saja dilancarkan, Alhamdulillah ramai yang membeli Dinar Emas Rabbani dan ini membuktikan para peminat sentiasa menyokong kami," kata Azadan.

Walaupun Rabbani sudah membina nama dalam bidang perniagaan, menyampaikan dakwah melalui muzik nasyid tetap menjadi tujuan utama kumpulan ini untuk terus berada di dalam industri hiburan.
"Kami melihat dunia hiburan ini sentiasa bergerak laju, bermakna lambat laun Rabbani juga akan hilang suatu hari nanti dan diharap dengan persediaan ini kami akan dapat meneruskan legasi Rabbani," kata Azadan penuh harapan.

RHB Islamic Tambah Cawangan Ar-Rahnu


RHB Islamic tawar khidmat Ar-Rahnu di tujuh cawangan


KUALA TERENGGANU 10 Okt. - RHB Islamic Bank Bhd. merancang menambah perkhidmatan Ar-Rahnu di tujuh cawangan bank itu sebagai permulaan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rani Lebai Jaafar berkata, sasaran itu akan direalisasikan secara berperingkat-peringkat mulai tahun ini sejajar dengan sinergi perniagaan di peringkat kumpulan.
Abdul Rani berkata, tujuh cawangan terbabit ialah Bandar Baru Bangi, Taman Setia Tropika, Johor Bahru; Taman Flora Utama, Batu Pahat; Dataran Glomac, Kelana Jaya; Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur; Sungai Petani, Kedah dan Shah Alam.
"Kami bercadang memperluaskan produk ini setelah melihat permintaan terhadapnya makin bertambah dari semasa ke semasa dan berpotensi untuk dimajukan," katanya yang juga Pengarah Urusan institusi perbankan itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelancaran cawangan produk pinjaman pajak gadai Islam (Ar-Rahnu-i) di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kumpulan Perbankan RHB Wilayah Pantai Timur, Nazri Othman; Ketua Perbankan Runcit, RHB Islamic Bank, Zulkhairi Zabiri dan Pengurus RHB Islamic cawangan Kuala Terengganu, Wan Maznah Wan Yusof.
Kuala Terengganu merupakan cawangan kedua menyediakan produk itu selepas Kubang Kerian, Kota Bharu pada April lalu.
Mengulas mengenai prestasi yang dicatatkan oleh RHB Islamic Bank cawangan Kubang Kerian selaku tapak permulaan produk Ar-Rahnu, Abd. Rani berkata, sebanyak RM1.30 juta pembiayaan telah dikeluarkan manakala jumlah gadaian emas pula sebanyak RM1.84 juta.
"Secara purata, jumlah pembiayaan dan gadaian emas adalah antara RM258,000 hingga RM369,000 bagi setiap bulan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, jumlah golongan yang bekerja sendiri, peniaga kecil dan usahawan wanita yang ramai di negeri ini menjadi faktor penting pembukaan cawangan itu di Kuala Terengganu bagi memudahkan pelanggannya itu mendapat pembiayaan alternatif dan modal pusingan.
"Saya yakin pembiayaan ini akan mendapat tempat di hati warga Terengganu kerana, kajian mendapati, masyarakat Islam terutamanya, kini lebih cenderung menggunakan pembiayaan itu kerana ia tidak berasaskan riba," ujar beliau.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya turut menawarkan pakej istimewa kepada pelanggan Ar-Rahnu melalui penggabungan produk itu dengan produk wasiat yang inovatif.
"Para pelanggan kami boleh menikmati jumlah pembiayaan sehingga 75 peratus daripada jumlah gadaian emas sekiranya mereka memohon produk wasiat pada masa yang sama berbanding jumlah pembiayaan sehingga 70 peratus sahaja tanpa produk wasiat," katanya.

sumber:  utusanonline

Khamis, 6 Oktober 2011

Wanita Kini Tidak Gemar Menyimpan Emas?

Didik wanita melabur emas


Selain untuk perhiasan memilik barangan kemas juga satu pelaburan jangka panjang.


Biarpun sehalus janggut udang barang hiasan emas tetap menjadi idaman golongan wanita sejak dari dulu lagi.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa emas menjadi sahabat baik wanita yang melambangkan kemewahan dan status seseorang.

Bagi yang lebih bijak menjadikan emas sebagai pelaburan jangka panjang sebagai harta yang boleh membawa keuntungan lumayan pada waktu diperlukan.
Malangnya, amalan itu tidak menjadi ikutan wanita generasi muda hari ini yang lebih suka kepada barangan berjenama lain bagi melambangkan kemewahan dan prestij.

Menurut Pengurus Besar Cantik Jewellery Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Habib Jewels, Abdul Razak Abdul Kadir, seharusnya generasi muda hari ini mencontohi 'orang lama' untuk membeli barangan kemas sebagai hiasan dan pelaburan.

"Membeli emas hari ini sangat menguntungkan, ia bukan sekadar barang perhiasan yang boleh digunakan untuk bergaya tetapi juga aset penting memandangkan harganya semakin meningkat dari hari ke sehari,'' tegasnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Katanya, nilai emas yang sentiasa meningkat dengan konsisten mengikut harga pasaran emas dunia menjadikan ia komoditi terbaik untuk pelaburan jangka panjang.

"Sambil berhias dengan barangan kemas berkualiti pada masa sama wanita juga sebenarnya telah membuat pelaburan jangka panjang," katanya.
Menurut Abdul Razak, sudah tiba masanya untuk golongan wanita mengubah cara hidup sekarang dengan menjadikan emas sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

"Sebagai contoh setiap tahun kita belikan emas kepada diri sendiri, atau pada anak-nak bagi menggantikan hadiah-hadiah lain.
"Biarpun nampak kecil namun nilainya akan bertambah dari semasa ke semasa. Keadaan ini jika dibiarkan untuk tempoh tertentu pastinya mendatangkan keuntungan,'' kata Abdul Razak.
Katanya lagi, emas boleh dijual semula mahupun digadaikan ketika masa sesak tanpa perlu menanggung susut nilai.

Bagaimanapun beliau menyeru supaya membeli emas di tempat atau di kedai yang mempunyai nama.
"Keadaan itu penting memandangkan ia mengelakkan daripada pelanggan di tipu serta memastikan kualiti emas itu terjamin,'' katanya lagi.
Di Habib katanya, pelanggan yang membeli barangan kemas akan diberikan sijil dan keadaan itu memberikan jaminan kepada pelanggan untuk terus membeli di premis tersebut.

Lagi pun pembelian emas yang dilakukan dalam negeri dapat membantu pembangunan kerana aliran wang berlaku dalam negara kita sahaja.
Menurutnya lagi, di Habib bukan sahaja menjual emas tetapi membeli semula emas lama untuk dileburkan.
Malah terbaru, Habib juga menawarkan pajak gadai yang memberi peluang kepada orang ramai untuk menggadai barangan perhiasan tersebut.

Terangnya lagi, pihaknya kini mempunyai sebuah premis pajak gadai yang terletak di Ampang. Bagaimanapun pihaknya kini dalam persiapan terakhir untuk membuka lima lagi premis pajak gadai di sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan.
"Uniknya pajak gadai di sini ialah turut menerima berlian dan batu-batu berlian untuk di gadaikan,'' katanya lagi.

Sumber: Utusanonline

Tips pelaburan :

1- pastikan barangan kemas yang dibeli menepati berat dan ketulenan emas itu. Jika 24K pastikan ia benar-benar 24K.
2- Pilih harga yang ditawarkan mengikut harga pasaran semasa dan bukannya harga pasaran yang ditetapkan oleh satu-satu pertubuhan atau persatuan. Jika tidak, untuk memaksimumkan keuntungan adalah pada tahap rendah.
3. Elakkan membeli barang kemas yang mempunyai kos upah yang tinggi. Paling baik untuk pelaburan, mestilah tiada kos upah (=0)
4. Pastikan syarikat itu boleh membeli kembali barangan itu dengan harga semasa yang tinggi yang ditawarkannya. Bukannya menolak harga dengan kos-kos sampingan. Antaranya, emas calar, used gold, sijil rosak dan sebagainya.
5. Memiliki sijil yang diiktiraf sebagai jaminan satu hari nanti.
6. Elakkan membeli barangan emas yang mempunyai batu permata. Ia akan mengurangkan kadar keuntungan kelak.

sekian..