Memaparkan catatan dengan label Harga Emas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Harga Emas. Papar semua catatan

Selasa, 23 Ogos 2011

Meningkat Sehingga 31%!

Harga emas terus tinggi
Oleh Mahanum Abdul Aziz

2011/08/23

Melonjak ke paras RM180 segram

HARGA emas terus melonjak ke paras tertingginya dalam sejarah iaitu pada AS$1,888.90 seaun atau kira-kira RM180 segram semalam berikutan kebimbangan berterusan kemungkinan ekonomi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kemelesetan
berganda, di samping krisis hutang di Eropah yang semakin meruncing.
Keadaan pasaran yang tidak menentu ketika ini menggalakkan pelabur memilih untuk melabur dalam logam berharga itu kerana ia antara pelaburan lindung nilai yang terbaik ketika krisis ekonomi. Ketua Penyelidik Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata pihaknya menjangkakan harga emas bakal mencecah paras AS$1,900 seaun dalam tempoh terdekat berikutan kelemahan dolar AS secara berterusan dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi sekali lagi di AS.

Beliau berkata, pihaknya juga melihat harga emas mempunyai potensi untuk mencecah paras AS$2,000 seaun menjelang akhir tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap logam berharga itu kerana pelabur lebih gemar melabur dalam emas ketika ketidaktentuan pasaran dunia.
“Penurunan penarafan hutang AS menggalakkan pemegang bon AS menjual pegangan masing-masing dan membeli emas. Kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi baru di AS serta kelemahan dolar juga mendorong harga emas untuk melonjak ke paras tertinggi,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Kebanyakan penganalisis pasaran sebelum ini menjangkakan permintaan bagi emas akan terus meningkat pada masa depan terutama dari China dan India didorong peningkatan pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu.
Mereka melihat keadaan tidak menentu di AS dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing.

“Prospek ekonomi AS yang malap berserta data ekonomi yang lemah ditambah krisis hutang Eropah yang semakin meruncing telah mendorong harga emas terus melonjak lebih daripada sukuan sejak Julai lalu,” jelas seorang penganalisis pasaran.

“Kami tidak melihat sebarang faktor positif yang dapat menyokong ekonomi AS dalam tempoh beberapa bulan ini,” tambahnya.

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.

sumber: berita harian

Jumaat, 12 Ogos 2011

Makin Naik Nampaknya!

Harga emas lepasi paras AS$1,800 seaun

NEW YORK 11 Ogos - Harga emas dunia melepasi paras AS$1,800 (RM5,400) seaun semalam buat pertama kalinya selepas pelabur menarik keluar pelaburan mereka bagi membeli kontrak komoditi itu.
Emas menjadi kegemaran pelabur bagi berhadapan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu pada masa ini.
Sementara itu, di awal dagangan pasaran emas Asia, komoditi tersebut melonjak ke paras tertinggi AS$1,814.50 (RM5,443.50) hingga AS$1,815.50 (RM5,446.50) seaun.

Rekod itu dicatatkan selepas pasaran ekuiti Asia menjunam pada dagangan awal, dengan Tokyo kerugian sehingga dua peratus, Seoul pula jatuh sebanyak empat peratus dan Sydney didagangkan 1.5 peratus lebih rendah.
Para pelabur telah dikejutkan dengan kemungkinan penurunan taraf kredit Perancis yang berada dalam keadaan terumbang-ambing selepas penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) diturunkan untuk pertama kalinya.

Khabar angin tentang penurunan taraf kredit Perancis itu timbul ekoran masalah yang dihadapi oleh beberapa bank di negara itu dan menguatkan lagi kebimbangan krisis hutang zon Eropah yang telah merebak.

Pelabur-pelabur bimbang bahawa Itali dan Sepanyol akan menjadi negara seterusnya yang tidak mampu membayar hutang mereka.
 
Sistem kewangan Eropah berada dalam keadaan buruk disebabkan oleh pihak bank yang memegang bon negara-negara yang mempunyai hutang besar seperti Greece dan Portugal.
Para pelabur dilihat berpaut kepada apa yang mereka rasakan sebagai pelindung nilai berbanding turun naik pasaran saham dan mata wang.

Komoditi itu pernah didagangkan sekitar AS$900 (RM2,700) pada musim panas 2008 sebelum krisis kewangan berlaku pada tahun itu. - Agensi

Sumber: Utusanonline

Isnin, 25 Julai 2011

Melaburlah diusia muda ni!

Pelaburan usia muda


PENGURUSAN wang yang cekap dalam usia muda mampu memberi kesan kepada kelangsungan hidup yang selesa pada masa depan. Hakikatnya, bukan semua golongan muda di negara ini mempunyai strategi menguruskan kewangan mereka untuk jangka masa panjang, antaranya menyertai skim pelaburan yang boleh memberi pulangan secara makro.
Apabila menyentuh mengenai penyertaan dalam skim pelaburan yang banyak ditawarkan hari ini, bukan mudah bagi golongan muda menyertainya kerana faktor tidak memahami konsep pelaburan ditawarkan skim itu.
Menyedari pelaburan dalam usia muda mampu memberi kesan positif dalam jangka masa panjang, wartawan Bisnes Metro, Hafiz Ithnin mengupas isu ini bersama Timbalan Presiden Ketua Penyelidikan Peruncitan dan Ekuiti Affin Invest.

APAKAH kelebihan bagi mereka yang menyertai skim pelaburan pada usia muda?
Bagi pelabur muda yang menyertai mana-mana skim pelaburan mereka boleh mendapat faedah atau keuntungan daripada aset agresif yang memerlukan satu tempoh atau jangka masa panjang untuk mendapat manfaat daripadanya. Ini kerana golongan muda mungkin mempunyai jangka masa panjang seperti dalam tempoh lima tahun atau lebih bagi menyertai skim pelaburan berbanding golongan yang lewat menyertainya.


Pada umur berapa yang sesuai bagi orang ramai menyertai skim pelaburan.

Sebenarnya untuk menyertai skim pelaburan tidak terdapat had umur yang disyaratkan tetapi sekurang-kurangnya mempunyai modal permulaan RM50,000. Selalunya bagi mereka yang mempunyai simpanan sebanyak itu adalah dalam lingkungan 30 tahun ke atas dan mungkin ada juga di antara berumur 28 tahun ke 30 tahun.


Terdapat pelbagai skim pelaburan yang ditawarkan di negara ini sama ada oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau bank tempatan dan institusi kewangan lain dan bagaimanakah cara terbaik untuk golongan muda memilih skim pelaburan sesuai?

Ia bergantung kepada kecenderungan mereka untuk mendapatkan keuntungan dalam satu tempoh yang diingini pelabur itu sendiri. Pada pandangan saya, mereka boleh menyertai pelaburan dalam saham yang berbentuk agresif seperti saham luar negara, teknologi dan komoditi walaupun ia mengambil masa lama untuk mendapat pulangan keuntungan. Namun, pelaburan dalam saham seperti ini ia memberi pulangan besar untuk pelabur itu sendiri.


Bagaimana prestasi penyertaan golongan muda dalam skim pelaburan di negara ini?

Kini, terdapat juga segelintir daripada golongan berkenaan yang mula berminat untuk menyertai pelaburan, namun ia tidak begitu besar iaitu dalam lingkungan lima peratus (kajian yang dilakukan Affin Investment Bank) dalam segmen pelaburan runcit kerana mereka lebih gemar membeli saham secara terus bukan melalui unit amanah.


Apakah langkah awal yang perlu dilakukan golongan muda sekiranya mereka berminat untuk menyertainya?

Mereka seharusnya mempunyai pendidikan atau pengetahuan tinggi apabila menyertai sesuatu pelaburan itu kerana pelaburan ini membabitkan risiko sama ada secara positif atau sebaliknya. Mendapatkan nasihat daripada pakar pelaburan adalah jalan terbaik pada awal penyertaan dalam pelaburan dan khidmat oleh mereka diberikan secara percuma. Selain itu, pelabur juga digalak menyertai seminar berkaitan pelaburan kerana di sini kami akan memberi nasihat dan cara terbaik bagi pelabur mendapatkan pulangan tinggi dan mengurangkan risiko sesuatu pelaburan itu.
Sumber: mymetro

Kesimpulan:
Pelaburan diusia muda penting bagi menjamin masa depan yang cerah dan tanpa bergantung kepada orang lain. Seperti kata orang tua-tua, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit. Oleh itu pelaburan yang selamat dan berkesan perlulah bijak untuk kita pilih. Kesilapan memilih boleh menyebabkan hidup di masa depan merana kerana usia yang dikurniakan ilahi tidak dapat diundur kembali.

Sabtu, 23 Julai 2011

Rakyat India Gemar Melabur Emas

Sektor Permata, Barang Kemas India Dijangka Cecah RM144 Bilion Menjelang 2015

Oleh P.Vijian

NEW DELHI, 22 Julai (Bernama) -- Sektor permata dan barang kemas India dijangka mencecah US$48 bilion (RM144 bilion) menjelang 2015, apabila lebih ramai rakyat India melabur di dalam barang kemas emas dan perak, yang disifatkan sebagai pelaburan jangka panjang.

Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri India (Assocham) berkata sektor domestik kini "berkembang pada kadar kukuh 15 peratus (setahun)."

"Pertumbuhan di dalam industri itu dirangsang oleh peningkatan permintaan apabila barang kemas disifatkan sebagai (komoditi) yang disimpan yang dipercayai dan bilangan besar pengguna menerimanya sebagai satu pilihan pelaburan yang selamat," kata Setiausaha Agung Assocham D.S Rawat.

Walau pun peningkatan harga emas dan perak telah mencecah paras yang belum pernah dicapai, secara tradisinya, rakyat India, yang terkenal sebagai pembeli besar-besaran logam itu, terus membuat pembelian barang kemas emas dan perak.

"Peningkatan kuasa membeli, perubahan gaya hidup dan peningkatan kemampuan secara keseluruhannya di kalangan kelas pertengahan India adalah antara sebab signifikan peningkataan permintaan mendapatkan barang-barang kemas," kata Rawat.

Tambahan pula, mood perayaan yang dijangka lewat tahun juga menyebabkan pemain industri optimis peningkatan jualan, katanya.

Satu kajian pada Mac-Jun yang disertai 1,500 peruncit, pemborong, pengilang - yang termasuk pemain berjenama keseluruhan industri itu - menunjukkan langkah pengeluaran sijil oleh cawangan perniagaan barang kemas juga meningkatkan permintaan di kalangan pengguna bandar.

-- BERNAMA

Kesimpulan:
Berdasarkan kepada fakta tersebut, jangkaan harga emas selepas perayaan depalvali meningkat. Malah lebih tinggi daripada paras USD1600.

Ahad, 10 Julai 2011

Riba Dunia

Sidang Riba Dunia Julai ini

KUALA LUMPUR 7 Julai - Persidangan Riba Dunia kali kedua yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2011 akan menjadi pentas bagi perbincangan secara komprehensif dan mendalam mengenai riba atau faedah dari pelbagai perspektif.
Persidangan tahun ini yang membawa tema Persoalan Riba: 'Pandangan Adil dari Perspektif Perakaunan, Undang-undang dan Agama' akan berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.
Pengerusi persidangan itu, Profesor Dr Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, unsur riba akan dirungkai secara kritis dari semua sudut oleh para cendekiawan Barat dan Timur. Ia juga bertujuan untuk mengkaji industri perbankan Islam dari segi amalan riba.
Tambahnya lagi, persidangan dua hari itu juga akan mengkaji undang-undang sah untuk mengurangkan penggunaan wang dengan emas atau mata wang komuniti.
''Persidangan tahun ini pula amat bertepatan berikutan sudah ada tanda-tanda akan berlaku satu lagi krisis kewangan dunia tidak lama lagi.

"Hampir sembilan bulan selepas persidangan pertama, kita dapat melihat kemelut di negara-negara Arab, nilai mata wang dolar Amerika yang lemah, harga emas yang naik mendadak, negara seperti Greece yang bankrap,'' katanya.

Persidangan itu dianjurkan oleh Thinkers Trends Resources Sdn. Bhd., dengan kerjasama Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Untuk maklumat lanjut mengenai persidangan ini, sila layari www.worldribaconference.org

Negara Islam Perlu Guna Dinar

Negara Islam disaran guna dinar emas, tidak lagi dolar AS

09/07/2011 8:37pm

ALOR SETAR 9 Julai – Dunia Islam disaran menggunakan dinar emas bagi melepaskan kebergantungan kepada mata wang dolar Amerika Syarikat dalam urus niaga, kata Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Syeikh Yahaya Jusoh.

Beliau berkata, mata wang negara-negara Islam boleh diselaraskan dengan dinar emas sebagai mata wang tunggal dalam urusan perdagangan dan aktiviti ekonomi di peringkat antarabangsa.
"Penggunaan dinar emas dapat membentuk identiti dan menjalin kerjasama antara negara Islam. Kita juga tidak perlu lagi menggunakan dolar Amerika,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dinar Darul Aman di Dewan Kolej Universiti Insaniah, di sini hari ini. 

Syeikh Yahaya berkata, beliau yakin dinar mempunyai potensi untuk dikembangkan dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi merealisasikan hasrat itu.
Sementara itu, Panel Syariah Amsyiq Gold Enterprise, yang mengeluarkan dinar untuk beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Othman Hamzah, berkata, pelancaran Dinar Darul Aman bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat membuat simpanan untuk masa hadapan. – Bernama

Dinar Emas Vs US Dollar

Negara Islam disaran guna dinar emas

ALOR SETAR 9 Julai - Dunia Islam disaran menggunakan dinar emas bagi melepaskan kebergantungan kepada mata wang dolar Amerika Syarikat dalam urus niaga, kata Ketua Hakim Syarie Kedah, Datuk Syeikh Yahaya Jusoh.
Beliau berkata, mata wang negara-negara Islam boleh diselaraskan dengan dinar emas sebagai mata wang tunggal dalam urusan perdagangan dan aktiviti ekonomi di peringkat antarabangsa.
"Penggunaan dinar emas dapat membentuk identiti dan menjalin kerjasama antara negara Islam. Kita juga tidak perlu lagi menggunakan dolar Amerika," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dinar Darul Aman di Dewan Kolej Universiti Insaniah, di sini hari ini.
Syeikh Yahaya berkata beliau yakin dinar mempunyai potensi untuk dikembangkan dan memerlukan kerjasama semua pihak bagi merealisasikan hasrat itu.
Sementara itu, Panel Syariah Amsyiq Gold Enterprise, yang mengeluarkan dinar untuk beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Othman Hamzah, berkata pelancaran Dinar Darul Aman bertujuan untuk memberi peluang kepada masyarakat membuat simpanan untuk masa hadapan.
"Jual beli dinar mempunyai susut nilai yang kecil iaitu sebanyak lima peratus berbanding 30 peratus bagi emas perhiasan yang terdapat di kedai emas.
"Malah keuntungan bagi simpanan dinar selama setahun boleh mencecah 37 hingga 50 peratus," katanya. - 
 BERNAMA


Jumaat, 20 Mei 2011

Beli Emas Secara Riba

Awasi riba dalam pembelian emas


Logam emas kini bukan sahaja diminati kaum wanita malah kaum lelaki juga semakin memahami ketinggian nilainya. - Gambar hiasan


AKHIR-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam di negara ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling, jongkong dan sebagainya.
Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang diharamkan Islam. 
Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: 

Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah': 278-279)

Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang lewat.
Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh 'Ubadah bin al-Samit : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)

Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan garam.
Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau matawang lain.

Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).
Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut, iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh. Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad pembelian sebelum berpisah.

Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)

Khamis, 12 Mei 2011

Saham Emas Dijangka Menurun

Saham alami aliran menyusut minggu ini

KUALA LUMPUR 8 Mei - Harga saham di Bursa Malaysia berkemungkinan terus mengalami aliran menyusut minggu ini dengan kenaikan kadar faedah dan penjualan besar-besaran dalam komoditi dijangka memberi kesan ketara terhadap bursa tempatan.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan berkata, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka meneruskan pembetulan menurunnya untuk menguji paras sokongan psikologi 1,500.

"Kami percaya berita lama yang kurang memberangsangkan akan kembali dengan para pelabur bimbang mengenai kemelesetan berganda global dan krisis hutang negara di negara maju," katanya.
Semasa minggu yang baru berakhir, dilaporkan indeks Reuters-Jefferies CRB, penanda aras komoditi global, turun hampir lima peratus, yang merupakan penurunan mingguan terbesar sejak akhir 2008.
Ini mempengaruhi sentimen pelabur di pasaran Asia.
Bursa tempatan juga mengalami aliran menurun dengan kelemahan di pasaran luar, yang ragu-ragu tentang pertumbuhan ekonomi dunia dengan data pekerjaan Amerika Syarikat yang teruk serta harga komoditi yang menjunam.

Pada Khamis lalu, Bank Negara Malaysia, menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 basis mata kepada 3.00 peratus berkuat kuasa serta merta, manakala Keperluan Rizab Berkanun (SRR) akan meningkat daripada 2.00 peratus kepada 3.00 peratus berkuat kuasa 16 Mei.
Ahli ekonomi berkata, langkah itu bertujuan mengimbangi risiko peningkatan tekanan inflasi dan menjangka lebih banyak kenaikan kadar faedah pada tahun ini.
Pada Jumaat, bursa tempatan ditutup dengan pelabur berhati-hati tentang peningkatan tekanan terhadap inflasi.
Nazri berkata, selain kenaikan kadar faedah, peningkatan dalam dolar Amerika dan kelemahan ringgit, mungkin juga menyumbang tekanan menurun terhadap bursa tempatan.
"Mengenai strategi minggu ini, kami mencadangkan pelabur agresif kami supaya menangguhkan jualan dalam niaga hadapan indeks manakala pelabur konservatif perlu kekal dengan kelas aset defensif (seperti bon dan utiliti pulangan tinggi) dan menambah pegangan tunai mereka," katanya.
Bagi asas minggu, indeks utama susut sebanyak 19.45 mata kepada 1,515.5 daripada 1,534.95 pada Jumaat sebelumnya.

Indeks Kewangan berkurangan 87.41 mata kepada 13,951.75 daripada 14,039.16 sebelumnya. Indeks Perusahaan susut 73.71 mata kepada 2,718.66 daripada 2,792.37 pada Jumaat sebelumnya.
Indeks Perladangan turun 93.61 mata kepada 7,496.24 daripada 7,589.85 pada Jumaat sebelumnya.
Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas susut 132.14 mata kepada 10,443.95 daripada 10,576.09 sebelumnya manakala Indeks FTSE Bursa Malaysia Ace berkurangan 137.99 mata kepada 4,249.51 daripada 4,387.50.
Pasaran ditutup pada Isnin sempena Hari Pekerja.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 3.924 bilion saham bernilai RM5.45 bilion daripada 5.007 bilion saham bernilai RM4.901 bilion minggu sebelumnya.

Di pasaran utama, jumlah dagangan berkurangan kepada 2.952 bilion saham bernilai RM5.217 bilion daripada 3.705 bilion saham bernilai RM6.139 bilion daripada sebelumnya.
Jumlah dagangan di pasaran ACE susut kepada 727.938 juta saham bernilai RM183.183 juta daripada 974.502 juta saham bernilai RM182.796 juta minggu sebelumnya.
Waran turun kepada 234.004 juta units bernilai RM44.087 juta daripada 310.393 juta unit bernilai RM61.455 juta sebelumnya. - BERNAMA

sumber: Utusanonline

Harga Emas Merosot? betul ke..

Harga minyak tidak akan turun


Harga minyak dunia dijangka kekal walaupun OPEC bertindak mengawal harga minyak.


DOHA 9 Mei - Qatar yang tidak menolak kemungkinan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) akan bertindak mengawal harga minyak, menegaskan pengeluaran dan bekalan komoditi itu ditahap baik.
Menteri Tenaganya, Mohammed Saleh al-Sada berkata, OPEC dijangka tidak akan melakukan sebarang perubahan besar pada mesyuarat akan datang.
''Kami berpendapat asas yang ada adalah baik dan kami tidak melihat sebarang gangguan dalam bekalan.
''Negara-negara OPEC dan bukan OPEC mengeluar dan membekalkan permintaan dunia pada tahap memuaskan.
''Secara jelas tahap bekalan dan stok adalah baik dan kami sedang memerhati kestabilan harga minyak,'' katanya.
Beliau tidak menjangkakan harga emas hitam itu akan jatuh meskipun harga-harga komoditi sekarang merosot.
Qatar telah menerima permintaan dari Jepun untuk tambahan bekalan gas.
''Kami mempunyai jawatankuasa untuk berunding dengan permintaan Jepun itu,'' katanya sambil menambah negara itu masih berbincang kuantiti minyak yang diperlukan.
Mohammed Saleh berkata, pergolakan di Libya tidak menjejaskan bekalan minyak dunia.
''Banyak negara khususnya OPEC telah mengatasi kekurangan tersebut dan tidak ada gangguan dalam pengeluaran dan bekalan minyak di dunia,'' tambahnya. - AFP

sumber : Utusanonline

Selasa, 26 April 2011

Emas: Pelaburan Selamat

Selamat labur dalam emas

Oleh Shuhada Mansor
darmansor@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MOHD ZARUDDIN...nilai emas sentiasa naik
MOHD ZARUDDIN...nilai emas sentiasa naik
MASYARAKAT tempatan terutama golongan wanita yang gemar menggunakan perhiasan berasaskan emas digalakkan supaya menjadikan hobi itu sebagai pelaburan utama memandangkan nilai bahan itu melonjak tinggi hampir setiap tahun.
Pengurus Kanan Operasi Runcit Habib Jewels Sdn Bhd, Mohd Zaruddin Mahmud berkata, naik turun nilai emas tidak terlalu terpengaruh jika berlaku inflasi dan hal itu menjadi faktor utama mendorong masyarakat untuk membeli emas dan membuat pelaburan.

“Melabur dalam aset ini adalah satu pelaburan yang selamat dan tidak akan terjejas walaupun situasi dunia sekarang yang sedang bergolak dan menghadapi masalah ketidaktentuan dalam kestabilan ekonomi,” katanya.
“Pelaburan emas yang menguntungkan ini adalah pelaburan jangka panjang. Jika beli emas sekarang, selepas lima hingga 10 tahun nilai emas akan naik,” katanya.
Menurutnya, skim Ar- Rahnu yang diperkenalkan kepada orang ramai dilihat sebagai satu sistem cagaran yang baik selain bertujuan untuk memberi kebaikan kepada masyarakat cara pemajakan gadai secara berhemah.
Sekiranya pemberi gadaian tidak berkemampuan membayar balik hutang yang ditanggung apabila tamat tempoh perjanjian, pemberi gadaian akan dimaklumkan mengenai barang gadaian yang terpaksa dijual dan jika harga jualan melebihi baki hutang, lebihan tersebut akan dikembalikan.
Habib Jewels yang turut memiliki kedai pajak Ar-Rahnu di bawah naungan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang memberi alternatif dan pulangan yang lebih tinggi kerana upah simpan yang dikenakan tidak melebihi 10 peratus dan menawarkan pinjaman tanpa faedah.

“Selalunya, kita akan bayar kadar faedah yang tinggi iaitu dua peratus sebulan untuk kedai konvensional pajak gadai sebanyak dua peratus, tetapi sekarang orang ramai dapat membayar upah simpan dengan kadar yang lebih rendah” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Emas di Malaysia’ pada Bengkel Korporat Muslimah, di Bangunan Felda, semalam. Bengkel yang bertemakan ‘Kilauan Firdausi’ masuk tahun kedua hasil kerjasama antara Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Felda Holdings Berhad (Felda) itu turut memperkenalkan zakat emas kepada golongan sasaran pembayar zakat wanita yang bekerja di Felda Holdings

sumber: Mymetro

Rabu, 20 April 2011

Apa Punca Kedai Emas Lengang ni?

Kedai emas semakin lengang


KEADAAN salah sebuah kedai emas yang semakin kurang dikunjungi pelanggan di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Kenaikan harga emas menyebabkan para peniaga emas di sini berdepan dengan keperitan ekoran jumlah pelanggan semakin berkurangan sejak awal tahun ini.
Tinjauan Kosmo! petang semalam mendapati kebanyakan kedai emas yang beroperasi di bandar ini lengang dan kurang dikunjungi pelanggan.
Seorang penjual emas, Normalina Ahmad, 38, memberitahu, keadaan kini sangat jauh berbeza berbanding 10 tahun lalu apabila kedai emas menjadi tumpuan ramai.
“Satu ketika dulu, 20 pelanggan datang membeli barang kemas setiap hari. Sekarang ini cuma tiga hingga empat pelanggan sehari dan kami lebih banyak duduk termenung di kedai.
“Ia bukan sahaja kerana harga emas naik, tapi juga disebabkan kaum wanita takut memakai barang kemas kerana bimbang diragut,” katanya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan harga emas diramal melambung tinggi dan bakal mencecah harga RM4,840 satu auns (28.3 gram) pada tahun ini.
Harga emas naik secara berterusan sejak 2001 dan mencapai paras tertinggi iaitu RM4,472.23 satu auns pada Januari lalu gara-gara kebimbangan pelabur terhadap kadar inflasi kejatuhan nilai dolar serta kekacauan di Asia Barat.
Seorang lagi peniaga kedai emas, Nani Ali, 36, berkata, walaupun harga emas naik namun ia tidak memberi keuntungan kepada peniaga komoditi itu.
“Apabila harga naik, orang tak mahu datang beli. Kebanyakan peniaga emas pening kepala dan kalau keadaan ini berterusan, mungkin ada yang terpaksa tutup kedai,” katanya.

sumber: Kosmo online

Sabtu, 16 April 2011

Harga Emas Naik Lagi

Lonjakan harga emas


HARGA emas dijangka meningkat sehingga RM4,840 satu auns pada tahun ini. - Gambar hiasan


LONDON - Harga emas dunia diramal meningkat sebanyak 13 peratus pada tahun ini menjadikan harga logam itu mencecah sehingga AS$1,600 (RM4,840) bagi satu auns (28.3 gram).
Kenaikan itu berterusan sejak 2001 didorong oleh kebimbangan terhadap inflasi yang tinggi dan kadar faedah global yang rendah.
"Kami tidak akan terkejut jika melihat harga emas melepasi AS$1,600 sebelum hujung tahun ini," kata Pengerusi Eksekutif firma penyelidikan GFMS Ltd., Philip Klapwijk dalam laporan terbarunya yang disiarkan semalam.
Ramalan itu tidak berubah daripada jangkaan awal yang dikeluarkan pada Januari lalu selepas harga emas mencatat harga tertinggi dalam sejarah iaitu AS$1,478.18 (RM4,472.23) bagi setiap auns di London pada Isnin lalu.
"Para pelabur terus bimbang mengenai inflasi dan kerajaan-kerajaan dilihat kurang berminat untuk mengetatkan polisi kewangan. Kedudukan kewangan kerajaan juga menjadi alasan kenapa pelabur kekal fokus terhadap pasaran emas.
"Penerimaan kenaikan harga oleh para pengguna akan membantu meningkatkan permintaan terhadap barang kemas selain menyediakan platform kukuh untuk pelabur menaikkan harga emas menjadi lebih tinggi," kata Klapwijk.

sumber : kosmo

Isnin, 11 April 2011

Pergolakan - Meningkatkan Harga Emas

Pergolakan dunia semasa

PELBAGAI perkembangan berlaku seminggu dua ini dan penting untuk kita mengambil tahu. Pasaran saham New York dan London naik walaupun Libya, Syria dan Yemen bergelut dengan demonstrasi inginkan perubahan kepimpinan.
Libya sudah dikenakan zon larangan terbang dan pengeluar minyak ketujuh terbesar di dunia itu tidak akan dapat membekalkan dunia dengan dua peratus yang dibekalkannya selama hari ini.
NATO memimpin serangan ke atas tentera Gadaffi, walaupun kadangkala mereka tersalah sasaran dan pejuang anti-kerajaan menerima padahnya. Pada waktu yang sama, minyak juga naik ke paras AS$108 setong di pasaran New York, paras tertinggi sejak dua tahun lepas. 

Kenaikan minyak dan emas mencecah paras AS$1,451 seauns di pasaran New York. Sekali imbas dilihat bahawa kekacauan di Timur Tengah tidak mendatangkan kesan buruk kepada pasaran saham dunia. Walaupun Obama berhadapan dengan kemungkinan ditutup perkhidmatan kerajaan Amerika Syarikat angkara tiada persetujuan dengan speaker yang terdiri daripada Republican tentang pemotongan AS$33 bilion daripada belanjawan negara tersebut, keadaan ekonomi di negara tersebut menunjukkan tanda-tanda pemulihan terutama sekali dari segi pengurangan pengangguran.
Laporan pendapatan syarikat juga menunjukkan rata-rata pemulihan korporat. Di rantau sebelah kita, berita terbaru ialah kemungkinan besar kerajaan Australia menolak pembelian Bursa Saham Australia oleh Bursa Saham Singapura. Penggabungan itu sekiranya berlaku akan mewujudkan bursa saham kedua terbesar di rantau Pasifik.
Sedikit sebanyak ini akan memberi kesan kepada bursa saham kita. Sudah sampailah masanya bursa saham kita berbuat sesuatu supaya kita dapat terus berdaya saing di rantau ini. Ini berlatarbelakangkan kemajuan dari semasa ke semasa bursa-bursa lain seperti Thailand dan Indonesia yang semakin hari semakin mengorak langkah yang jauh daripada kita. 

Ura-ura menyenaraikan saham-saham daripada bursa-bursa di rantau ASEAN ini perlu dipercepatkan kerana entiti demikian hanya satu saja yang boleh wujud dan kalau ditubuhkan oleh orang lain, kita akan melepas lagi.
Tumpuan kepada pelabur runcit wajar dipertingkatkan kerana tiada siapa yang tahu kuasa pelabur runcit yang sebenarnya. Kalau kita memperkatakan tentang pelabur institusi, balik-balik kita bercakap tentang institusi-institusi yang sama sahaja seperti KWSP dan PNB. Kalau hendak dikirakan dari segi mutu syarikat yang tersenarai berbanding dengan bursa lain di rantau ini, kita memiliki lebih banyak syarikat yang bermutu tinggi daripada bursa-bursa lain, tetapi kenapa jumlah dagangan dan nilai dagangan orang lain lebih tinggi daripada kita.
Ini bererti faktor-faktor sokongan seperti kemudahan pembiayaan kewangan dan lain-lain faktor yang berkaitan dengan susah/senangnya melakukan urusan dagangan perlu dilihat dan dikaji. Pasaran adalah ibarat burung di dalam genggaman, kalau terlalu ketat burung akan mati, terlalu longgar burung akan terbang. Seorang broker yang telah berkecimpung dalam pasaran saham selama 20 tahun dan telah bersara mengatakan walaupun kita telah mencecah paras 1,500 mata di FBMKLCI tetapi dalam ‘real terms’ (kenaikan sebenar), kita belum mencapai paras 1990-an dahulu.
Kita perlu menaikkan minat pelabur runcit kita dan kembali kepada kedudukan pertama di rantau ASEAN seperti sebelum krisis 1998 dan dengan adanya kemajuan teknologi hari ini, kita tidak memerlukan banyak cawangan untuk syarikat broker kita. Kita hanya perlukan ‘kemudahan dalam urusan melalui teknologi’.
Dua perkara penting yang wajar kita beri perhatian ialah kedudukan mata wang kita dan nilai emas dari semasa ke semasa. Mata wang kita telah menunjukkan kenaikan sejak Januari 2011, berbanding dengan Dolar Amerika yang menunjukkan kenaikan daripada AS$1 sebanyak RM3.0640 pada 3 Januari 2011 kepada RM3.0255 untuk AS$1 pada 5 April 2011.

Bagi mata wang pound, mata wang kita jatuh daripada RM4.762 untuk satu pound pada 3 Januari 2011 kepada RM4.9466 untuk satu pound pada 5 April 2011 dan untuk Dolar Singapura pula kita juga jatuh daripada RM2.3839 untuk satu Dolar Singapura kepada RM2.4006 bagi satu Dolar Singapura untuk masa yang sama. Apa yang boleh kita rumuskan daripada angka-angka ini ialah kenaikan Ringgit dengan Dolar Amerika dan bukan lain-lain tempat. Ini disebabkan ekonomi Amerika sudah sampai ke tahap yang teruk dan baru hendak kembali pulih.
Bagi emas pula harga penutup pada 5 April 2011 ialah AS$1451.80 seauns dan setahun dulu ialah AS$1132.90 seauns, kenaikan sebanyak 28.15 peratus. Bagi kebanyakan orang ramai, mungkin harga ini terlalu tinggi tetapi di sinilah bursa saham kita perlu melihat ETF untuk emas diperdagangkan. ETF ialah Exchange Traded Fund atau Dana Dagangan Bursa seperti yang digunakan dengan saham indeks atau saham-saham pilihan. Dengan dagangan ETF ini, seseorang pelabur itu tidak perlu mengeluarkan harga satu auns tetapi satu par sepuluh daripada harga semasa.

Walau bagaimanapun jika pelabur ingin menyimpan emas secara nyata, bursa mestilah bersedia memberikannya. Pada masa ini, sesiapa yang berminat melabur dalam emas (bukan barangan kemas), ada bank-bank perdagangan yang jual beli emas dengan menggunakan buku simpanan.
Jadi, bagi mereka yang ada lebihan wang untuk dilaburkan, fikir-fikirkanlah yang mana satu wajar diberikan tumpuan. Satu lagi malapetaka yang melanda ekonomi ketiga terbesar dunia ialah tsunami dan gempa bumi berukuran 8.9 pada 11 Mac 2011 di Jepun dan kesan buruk selepas itu. Kesan utama yang banyak diperkatakan hari ini ialah loji nuklear yang bahan radioaktifnya telah dibuang ke Lautan Pasifik.
Pelbagai angka radiasi diberikan sehingga tujuh juta kali ganda paras selamat pernah dinyatakan. Apa yang berlaku di loji nuklear Jepun ini memberi pelbagai implikasi kepada negara-negara yang ingin mendirikan loji nuklear. Malahan ramai yang sudah memberhentikan operasi loji mereka, menunggu apa yang bakal berlaku di Fukushima tersebut dan bagi mereka yang bakal mendirikan loji nuklear, mengkaji semula keinginan tersebut.

sumber: utusanonline

Isnin, 21 Mac 2011

Adakah harga emas akan meningkat?

Bursa jangka dagangan tinggi

KUALA LUMPUR 20 Mac - Saham-saham di Bursa Malaysia berkemungkinan diniagakan lebih tinggi minggu depan ekoran sentimen yang lebih baik dalam pasaran-pasaran ekuiti global selepas negara-negara kaya Kumpulan Tujuh (G-7) bersetuju melaksanakan campur tangan bersama untuk membendung kenaikan mata wang Jepun.
Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan berkata, FTSE Bursa Malaysia (FBM) KLCI mungkin bergerak dalam jajaran 1,500 hingga 1,520 manakala pelabur beransur-ansur mengumpul saham-saham murah apabila jualan besar-besaran dan aliran berita negatif semakin reda.
"Hakikat bahawa Bank of Japan mengambil tindakan dengan program pembelian aset besar-besaran dan rancangan G-7 untuk melaksanakan campur tangan terselaras untuk menstabilkan yen merupakan perkembangan positif bagi pasaran saham itu," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan sejarah jualan besar-besaran ekoran sesuatu peristiwa seperti gempa bumi Kobe dan serangan 9/11 yang menyeret turun FBM KLCI sebanyak lapan peratus dalam tempoh empat minggu tetapi diikuti oleh pemulihan yang sama pantasnya dalam lapan minggu, pembetulan yang berlaku baru-baru ini mungkin keterlaluan.
Sekarang tiba masanya untuk mengenal pasti saham berkualiti dan membelinya semasa ia turun, katanya.
"Tambahan pula, ada kemungkinan besar kenaikan kadar faedah akan ditangguhkan dalam mesyuarat monetari akan datang apabila Bank Negara Malaysia menilai kesan gempa bumi Jepun ke atas pemulihan ekonomi tempatan," kata beliau.
"Keseluruhannya, krisis Jepun itu seharusnya merupakan perkembangan positif bagi bahan-bahan binaan tempatan, seterus memberikan manfaat kepada sektor kayu dan keluli, ketika Jepun merancang pembinaan semula.
"Bagaimanapun, kami masih enggan mengambil risiko bagi sektor elektrik dan elektronik serta pelancongan dalam jangka terdekat ini disebabkan oleh kesan kekurangan komponen import dan pelancong dari Jepun," tegasnya.
Menurut Dr Nazri ekonomi Malaysia dijangka agak berdaya tahan (terhadap harga minyak yang melebihi AS$100 setong) kerana sektor minyak dan gas menyumbang 30 peratus kepada pendapatan pembuatan tempatan dan 10 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Minggu ini, FBM KLCI pulih 8.27 mata kepada 1,503.89 daripada 1,495.62 ekoran langkah G-7, setelah menerima bahang daripada kejatuhan dalam pasaran-pasaran serantau berikutan bencana gempa bumi dan tsunami yang dahsyat di Jepun.
Indeks FTSE Bursa Malaysia Emas naik 43.55 mata kepada 10,271.12 daripada 10,227.57, Indeks FTSE Bursa Malaysia Ace turun 65.89 mata kepada 3,986.16 daripada 4,052.05 dan Indeks FTSE Bursa Malaysia Mid 70 mengukuh 14.75 mata kepada 10,908.30 daripada 10,893.55.
Indeks Kewangan meningkat 17.12 mata kepada 13,564.37 daripada 13,547.25, Indeks Perladangan menambah 69.25 mata kepada 7,680.31 daripada 7,611.06 dan Indeks Perusahaan naik 25.49 mata kepada 2,785.03 daripada 2,759.54.
Jumlah dagangan minggu ini susut kepada 5.097 bilion saham bernilai RM7.738 bilion daripada 5.50 bilion saham bernilai RM8.50 bilion.
Pasaran Utama mencatatkan pengurangan jumlah dagangan kepada 4.069 bilion saham bernilai RM7.561 bilion daripada 4.42 bilion unit bernilai RM8.33 bilion.
Pasaran ACE menyaksikan peningkatan jumlah dagangan kepada 472.088 juta bernilai RM80.807 juta daripada 353.06 juta saham bernilai RM44.72 juta.
Waran susut jumlahnya kepada 532.850 juta unit bernilai RM92.459 juta daripada 698.220 juta unit bernilai RM127.630 juta. - Bernama

Ahad, 27 Februari 2011

Rabu, 23 Februari 2011

Saham Jatuh, Emas Naik

Pasaran saham Asia jatuh

HAMPIR keseluruhan pasaran saham Asia semalam meneruskan aliran kejatuhan masing-masing dalam pada harga minyak mentah dulu kekal di paras tertinggi dalam tempoh dua tahun susulan tindakan Muamar Gaddafi, pemimpin negara pengeksport utama minyak, Libya, memberi amaran beliau akan terus berjuang hingga ke titisan darah terakhir.

Di Jepun, Indeks Nikkei 225 jatuh 0.80 peratus atau 85.60 mata kepada 10,579.10 mata, manakala Hong Kong pula menyusut 0.36 peratus atau 83.91 mata kepada 22,906.90, dan Sydney jatuh 0.22 peratus atau 10.8 mata kepada 4,845.9.
Indeks Straits Times Singapura merosot 0.57 peratus atau 17.27 mata kepada 3,001.85. Bagaimanapun, Indeks Komposit Shanghai China meningkat 0.25 peratus atau 7.11 mata kepada 2,862.63 susulan aktiviti pengambilan untung selepas mengalami kejatuhan teruk pada Selasa lalu.

Saham berkaitan perlombongan terus menjadi tarikan di sebalik peningkatan harga emas susulan pelabur lebih cenderung membuat pelaburan dalam komoditi itu di tengah-tengah kebimbangan berhubung inflasi dan ketegangan di Afrika Utara dan Asia Barat.

Harga emas tutup pada paras AS$1,400.00 hingga AS$1,401.00 satu auns.
Peniaga terus mengalami kerugian akibat kejatuhan teruk hari sebelumnya berikutan meningkatnya kebimbangan mengenai kekurangan bekalan minyak mentah di seluruh dunia.

Gaddafi yang mengarahkan penyokongnya untuk turut mengadakan tunjuk perasaan, memberi amaran beliau akan berjuang hingga mati untuk terus kekal menguasai Libya yang dipimpinnya sejak 1969.
“Libya negara saya,” katanya dan menambah “Saya akan berjuang hingga ke titisan darah terakhir.”

Penunjuk perasaan kini semakin merebak ke beberapa kawasan di rantau itu, termasuk di Maghribi, Yaman, Bahrain dan Iran.

Ketegangan itu menyebabkan harga minyak mentah dunia terus kekal tinggi dengan kontrak April minyak mentah Brent meningkat 69 sen kepada AS$106.47 setong meskipun ia susut sedikit daripada paras tertingginya, iaitu AS$108 setong dalam dagangan di Eropah Selasa lalu.

Bagaimanapun, peningkatan harga minyak seterusnya mungkin dapat dibendung selepas Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Naimi berkata, anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) campur tangan bagi memenuhi sebarang pengurangan bekalan berikutan ketegangan itu. – AFP 

Sumber : Berita Harian

Isnin, 21 Februari 2011

Jika Harga Minyak Naik, Harga Emas ?

Tunjuk perasaan di Libya naikkan harga minyak



SINGAPURA 21 Feb. - Minyak Brent naik melebihi AS$2 (RM6.06) berikutan tunjuk perasaan yang berlaku di Libya, negara ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak telah mengakibatkan kenaikan harga komoditi itu selepas berlaku tunjuk perasaan di negara-negara pengeluar minyak di Timur Tengah dan Afrika Utara.
Al Jazeera melaporkan kekacauan yang berlaku di Libya telah menyebabkan medan minyak Nafoora menghentikan pengeluarannya.

Minyak Brent bagi penghantaran April naik sebanyak AS$1.73 (RM5.24) kepada AS$104.24 (RM315.84) setong, selepas berada sekitar AS$104.60 (RM316.93), kenaikan tertinggi dalam tempoh dua setengah tahun.

Penghantaran minyak mentah Amerika Syarikat pada bulan Mac juga bertambah AS$1.40 (RM3.15) kepada AS$87.60 (RM265.42) setong.
Libya mengeksport sekitar 1.1 juta tong sehari dan Ahad lalu, puak pemimpinnya mengancam untuk mengurangkan bekalan dalam tempoh 24 jam sekiranya protes anti-kerajaan berterusan.
''Memang terdapat kebimbangan akan berlaku gangguan di bekalan minyak di Libya,'' menurut pengurus risiko Mitsubishi Corp.

''Pasaran minyak dengan mudah naik sebanyak AS$10 dalam tempoh terdekat sekitar AS$10 (RM30.3) jika pergolakan berterusan,'' menurut Pengarah Tinjauan Ekonomi Asia, David Cohen.
Libya menghasilkan 1.58 juta tong pada Januari, menurut undian Reuters. Ia memegang rizab minyak terbesar di Afrika dan merupakan pengeksport minyak ke-12 terbesar pada 2009, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat.

Brent secara teknikal kekal neutral sekiranya ia berada di antara AS$101.50 (RM307.54) dan AS$104.50 (RM316.63), menurut penganalisis pasaran Reuters, Wang Tao. - Reuters



sumber: utusan malaysia online

Ahad, 20 Februari 2011

27% - 2.2% = Kalis Inflasi

Emas Sebagai Tembok Inflasi

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pembaca blog ini.

                Pada posting kali ini, ingin saya kongsikan sedikit info berkaitan kelebihan emas dalam melawan kenaikan kadar kenaikan inflasi. Kadar kenaikan inflasi di Malaysia adalah pada 2.2% iaitu pada bulan Disember 2010 (tertinggi dalam tempoh 19 bulan) dan secara tahunannya adalah pada1.8% tahun 2010. Walaupun demikian, kadar inflasi ini masih lagi rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Berapakah pula kada inflasi pada tahun ini? adakah ianya turun ataupun meningkat. Jika naik, maka kita akan terbebanlah dengan kenaikan harga barangan. 

               Untuk melawan kadar kenaikan inflasi ini, pendapatan kita sepatutnya bergerak seiring dengan peningkatan kadar inflasi. Jika kenaikannya 2.2% maka peningkatan gaji kita mestilah sama ataupun lebih daripada 2.2% juga. Jika tidak, maka kita akan terbeban dengan kenaikan tersebut.Ini adalah kerana, secara mudahnya, pendapatan kita telah berkurang sebanyak 2.2% daripada gaji.

                 Kenaikan kadar inflasi ini sebenarnya mengurangkan wang simpanan kita di bank. Bayangkan jika kita mempunyai wang simpanan yang disimpan bermula dari awal tahun iaitu sebanyak RM10,000. Dengan kadar kenaikan tersebut, wang kita itu telah berkurang sebanyak 2.2% iaitu RM220 untuk setahun. Walaupun di dalam bank masih lagi menunjukkan baki sebanyak RM10,000 tetapi secara kemampuan nilai wang tersebut telah susut sebanyak RM220. Ini hanya setahun dan RM10,000. Bagaimanapula untuk 10 tahun dengan nilai RM100,000? ataupun lebih daripada itu. 

                    Dengan kadar kenaikan inflasi yang tidak menentu ini, ada baiknya kita tukarkan wang tersebut dalam bentuk emas. Jika dilihat kenaikan harga emas dapat mengatasi kenaikan kadar inflasi. Kenaikan harga emas pada tahun 2010 adalah sebanyak 27%. Kenaikan 27% ini dapat mengatasi kadar kenaikan inflasi iaitu terdapat lebihan sebanyak 24.8%. Jika kita mempunyai emas nilainya RM10,000 maka dengan kenaikan itu nilai emas kita telah menjadi RM12,700. Walaupun berat emas itu tetap tidak berubah. Itulah salah satu sebab, mengapa ramai orang Malaysia telah sedar tentang kepentingan menyimpan emas.Ini kerana emas adalah kalis inflasi berbanding wang fiat.



Betullah sepertimana yang dinyatakan di dalam Al-Quran dan Al-Hadis berkenaan pengunaan dinar (emas) dan dirham (perak) antaranya,

  "Dan di antara ahli-ahli kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada kamu dan ada pula di antara mereka, yang kalau engkau amanahkan menyimpan hanya satu dinar sahaja pun, dia tidak akan mengembalikannya kepada kamu, kecuali kalau kamu selalu menuntutnya". (Surah Ali Imran : 75)

  "Dan (setelah berlaku perundingan), dan adik beradik Nabi Yusuf telah menjual Yusuf dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja..." (Surah Yusuf:20)

Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda "Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham (untuk digunakan). Hadis dari Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal

  "Dinar yang engkau belanjakan di jalan Allah, dinar yang engkau belanjakannya dalam membebaskan hamba. dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin. dan dinar yang engkau belanjakannya untuk ahli keluarga kamu. (Hadis)

  Yang paling besar pahalanya (di sisi Allah) ialah dinar yang kamu belanjakannya untuk (memenuhi keperluan dan membangunkan potensi hidup) ahli keluarga kamu." (Hadis)

sekian,..

Kesimpulannya: 
1- Emas dan perak adalah menjadi wang yang paling kukuh berbanding wang fiat..
2- Nilai emas 1 dinar adalah untuk seekor kambing pada zaman dahulu, dan kini harganya masih tetap sama iaitu 1 dinar. Di sini tiada kadar kenaikan inflasi (inflasi sifar).
3- Kuasa beli emas tetap sama berbanding penggunaan wang. Dimana kuasa beli wang semakin kecil jika di bandingkan dengan emas. Jika kita lihat untuk pergi haji atau umrah sebenarnya dalam masa 10 tahun semakin berkurang jika kita menggunakan dinar.
4- Emas dan perak juga dapat mengatasi masalah cetakkan. Jika wang, satu-satu kerajaan dapat mencetakknya dengan sesuka hati tetapi emas, mencetaknya adalah mustahil. Masih ingatkah kita tentang penggunaan wang 'pokok pisang' yang dicetak berleluasa di zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
5- Selain itu, emas juga merupakan simbol kekayaan seseorang atau sesebuah negara. 
6- Banyak lagi kelebihan emas. Baca di sini


Ingin berkongsi maklumat / berjual beli
Hubungi 012-9562006
Pelaburan terbaik adalah pelaburan emas

Selasa, 15 Februari 2011

Harga Emas Tahun 2011

Harga emas naik RM4,650 satu auns 
Dipetik dari akhbar Sinar Harian


 
Emas adalah logam berharga yang dicari untuk membuat syiling, barang kemas dan hasil seni sejak zaman dahulu lagi. Logam yang secara aslinya boleh didapati di dalam bentuk ketulan kecil dalam batuan ini adalah logam emas yang padat, lembut, berkilat dan merupakan logam asli yang paling mudah ditempa dan di mulur.

Pada 2009, sebanyak 165,000 tan emas dilombong. Jumlah ini adalah lebih kurang sama dengan 5.3 bilion auns atau kira-kira 8.500m dari segi isi padu air. Penggunaan emas di dunia ialah sekitar 50 peratus untuk barang kemas, 40 peratus untuk pelaburan dan 10 peratus untuk kegunaan dalam industri.



Pelaburan emas 2011

Dalam nilai pasaran AS$, harga emas meningkat kepada 50 peratus pada 2007, 22 peratus pada 2009 dan 27 peratus pada 2010, atau dalam erti kata lain, purata kenaikan adalah 24 peratus setahun antara 2007 hingga 2010. Kenaikan nilai harga emas ini dijangka akan terus naik pada 2011 sejajar dengan kenaikan harga komoditi yang lain.

Namun, kenaikan harga emas pada 2011 dilihat akan lebih sederhana iaitu kira-kira AS$1,500 satu auns. Hal ini mungkin kerana, hampir semua negara lebih menumpukan dalam mengukuhkan ekonomi masing-masing.

Antara agenda yang dilakukan ialah mengurangkan kadar pengangguran adalah perkara paling penting untuk meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap sesebuah negara itu.

Selain itu, kegagalan mengukuhkan posisi ekonomi pada hari ini hanya akan mengakibatkan negara tersebut ketinggalan apabila keadaan ekonomi kembali pulih mulai tahun 2015 atau seawal 2013.

Dalam pada itu, Utusan Malaysia pada 6 Januari lalu turut menyiarkan, harga emas bakal mencecah paras USD 1500 (RM4650) untuk satu auns pada tahun ini. Hal ini dikuatkan lagi dengan kenyataan dari Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Poh Kong Holdings Bhd. (Poh Kong), Datuk Eddie Choon.

Menurutnya, peningkatan harga emas itu dijangka berlaku berikutan keadaan semasa dan permintaan yang berterusan di pasaran.

Tahun lalu, harga emas bagi satu auns ialah kira-kira AS$1,400 (RM 4,340), dan pada hari terakhir 2010, harga emas ditutup pada paras AS$1,421.40 (RM4,406.34) untuk satu auns dan naik 31 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Penganalisis turut menjangkakan trend peningkatan harga ini akan berterusan tahun ini kerana emas adalah komoditi paling baik dari aspek peningkatan harga pada tahun lalu.

Secara tradisinya, ia dilihat sebagai pelaburan perlindungan nilai yang sering digunakan sebagai mekanisme untuk melindungi nilai terhadap deflasi.



Dinar emas

Pada 1998, Kerajaan Malaysia mencadangkan penggunaan emas sebagai mata wang perdagangan dunia seperti mana yang diperkenalkan ketika zaman Rasulullah S.A.W dahulu.

Pemilihan emas ini adalah kerana sifat kimianya yang stabil dan nilainya yang tidak berubah. Selain itu, dinar emas juga diharap dapat menggantikan pergantungan dunia terhadap Dolar Amerika dan Euro.

Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat, dinar emas tidak akan menggantikan mata wang setempat, tetapi mata wang ini hanya akan digunakan sebagai mata wang perdagangan antara negara saja.



Sumber:

http://mysuperkids.net/peluang-pelaburan-emas-hartanah-saham-perniagaan-2011/

http://mysuperkids.net/pelaburan-emas-%e2%80%93-pandangan-peribadi-yg-anda-tak-pernah-dengar/

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0107&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm&arc=hive

http://ms.wikipedia.org/wiki/Emas