Sidang Riba Dunia Julai ini
KUALA LUMPUR 7 Julai - Persidangan Riba Dunia kali kedua yang bakal berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2011 akan menjadi pentas bagi perbincangan secara komprehensif dan mendalam mengenai riba atau faedah dari pelbagai perspektif.
Persidangan tahun ini yang membawa tema Persoalan Riba: 'Pandangan Adil dari Perspektif Perakaunan, Undang-undang dan Agama' akan berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC.
Pengerusi persidangan itu, Profesor Dr Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, unsur riba akan dirungkai secara kritis dari semua sudut oleh para cendekiawan Barat dan Timur. Ia juga bertujuan untuk mengkaji industri perbankan Islam dari segi amalan riba.
Tambahnya lagi, persidangan dua hari itu juga akan mengkaji undang-undang sah untuk mengurangkan penggunaan wang dengan emas atau mata wang komuniti.
''Persidangan tahun ini pula amat bertepatan berikutan sudah ada tanda-tanda akan berlaku satu lagi krisis kewangan dunia tidak lama lagi.
"Hampir sembilan bulan selepas persidangan pertama, kita dapat melihat kemelut di negara-negara Arab, nilai mata wang dolar Amerika yang lemah, harga emas yang naik mendadak, negara seperti Greece yang bankrap,'' katanya.
Persidangan itu dianjurkan oleh Thinkers Trends Resources Sdn. Bhd., dengan kerjasama Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
Untuk maklumat lanjut mengenai persidangan ini, sila layari www.worldribaconference.org
Tiada ulasan:
Catat Ulasan