Isnin, 21 Mac 2011

Ar-Rahnu Semakin Berkembang

Agrobank sasar buka 20–25 cawangan baru Ar–Rahnu


Ahmad Said


KUBANG PASU 20 Mac – Agrobank dijangka membuka antara 20 hingga 25 cawangan baru yang menawarkan perkhidmatan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu di seluruh negara pada tahun ini.
Pengarah Urusan Agrobank, Datuk Ahmad Said berkata, cawangan-cawangan itu adalah sebagai tambahan kepada 88 cawangan Ar-Rahnu sedia ada di sebanyak 167 cawangan Agrobank di seluruh negara.
“Kita mensasarkan untuk membuka perkhidmatan Ar-Rahnu di kesemua cawangan Agrobank tetapi pada tahun ini kita jangkakan akan dapat membuka antara 20 hingga 25 cawangan baru Ar-Rahnu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program kenduri rakyat bersama Agrobank di Surau Kampung Budi, di sini semalam.
Program yang bertujuan mendekati penduduk kampung dan masyarakat luar bandar dengan bank tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Johari Baharum.
Pelbagai aktiviti dijalankan pada program tanggungjawab sosial korporat itu antaranya gotong-royong memasak lauk pauk, mengecat surau, acara rakyat dan sebagainya.
Ahmad berkata, pembukaan cawangan baru itu dijangka mampu memenuhi permintaan tinggi terhadap perkhidmatan tersebut kerana pajak gadai Islam kini semakin popular di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.
Beliau berkata, ia popular kerana boleh membantu masyarakat mendapatkan modal dan pinjaman segera untuk berniaga dengan menyimpan emas dalam bank tersebut.
Menurutnya, perkhidmatan Ar-Rahnu didapati amat berpotensi berkembang dan jumlah pembiayaan ketika ini sudah mencecah RM600 juta di seluruh negara.
Beliau berkata, langkah tersebut selaras dengan sasaran Agrobank untuk beroperasi sepenuhnya mengikut sistem perbankan Islam pada 2015.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan