Jumaat, 26 Ogos 2011

Wanita Kelantan dan Emas

Nilai emas bagi wanita Kelantan


Emas disusun kemas dan cantik bagi menarik perhatian golongan wanita.


KOTA BHARU 25 Ogos – Emas adalah barang paling akrab dengan golongan wanita kerana tanpa kilauan emas, penampilan mereka dirasakan seperti tidak sempurna.
Di Malaysia, wanita Kelantan antara golongan yang dikatakan pencinta barang kemas itu sehingga ada yang berjenaka ‘tangan dan leher wanita Kelantan sentiasa disaluti perhiasan emas.’
Maka tidak hairanlah didapati ramai wanita Kelantan termasuk peniaga sayur di Pasar Siti Khadijah, pergelangan tangan mereka sentiasa disaluti barangan kemas, menggambarkan betapa obsesnya golongan hawa di negeri Cik Siti Wan Kembang ini kepada emas.

Kenaikan mendadak harga emas di pasaran ketika ini juga dilihat tidak menjejaskan minat mereka terhadap barang kemas apabila tinjauan sekitar bandar ini baru-baru ini mendapati, hampir kesemua kedai emas menerima kunjungan ramai di kalangan wanita yang ingin ‘melaram’ atau kelihatan ‘cantik’ semasa Hari Raya Aidilfitri.
Andainya pada sambutan hari raya raya tahun lalu, mereka membeli rantai yang beratnya kira-kira ‘lima rial berat’, tahun ini mereka mungkin membeli ‘20 rial berat’ pula.
Emas Kelantan mempunyai panggilan tersendiri iaitu ‘ satu rial berat’ bersamaan dengan 2.72 gram dan harga pasaran RM445 atau RM163.60 satu gram (ketika laporan ini dibuat).

Antara barangan kemas yang menjadi pilihan sudah semestinya rantai atau gelang yang ditawarkan dalam pelbagai bentuk rekaan klasik dan kontemporari.
Corak itu sesuai dengan cita rasa pelanggan terutama di kalangan anak gadis.
Seorang peniaga emas dan permata, Jamal Hosen, 30, memberitahu, walaupun jualannya kali ini agak berkurangan berbanding tahun lalu, namun, masih ramai yang datang membeli di kedainya.
“Antara yang menjadi pilihan ialah rantai tangan dengan reka bentuk seperti KLCC, Benson, Dunhill, bunga dan sebagainya. 

‘‘Saya mendapat tempahan barang kemas ini dari Pulau Pinang bagi memenuhi keperluan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia ditemui di sini, baru-baru ini.
Katanya, jualan barangan emas permata agak murah sedikit kerana mengggunakan kandungan emas yang lebih sedikit, tetapi ia menjadi kegemaran di kalangan peraih emas kerana laris dijual.
Sementara itu, pemilik bengkel emas, Mohd. Zahari Awang, 42, memberitahu, pasaran barang kemas tempatan terus berkembang di sebalik peningkatan harganya hampir setiap hari.
Katanya, ini berdasarkan tempahan membuat pelbagai barang kemas daripada hampir 20 buah kedai emas termasuk dari luar Kelantan menjelang musim perayaan ini.

Menurutnya, tempahan itu mengikut kehendak pelanggan dan kebiasaannya cincin dan subang dengan berat satu rial berat, manakala rantai jenis ‘pahat telur’ dengan berat sehingga 21 rial.
Mohd. Zahari yang mempunyai bakat semula jadi dalam mereka bentuk barang kemas memberitahu, kebiasaannya emas tempatan membabitkan berat lebih 100 rial adalah untuk dijadikan simpanan oleh pembeli.
Pekerja mahir dalam pembuatan gelang dan rantai tangan, Zulkifli Zakaria, 46, pula memberitahu, tempahan barang kemas dibuat mengikut waktu dipersetujui oleh pelanggan.
“Kebanyakan warga emas menggemari bentuk tradisi berbanding golongan muda memilih bentuk terbaharu termasuk tulisan perkataan jawi dan rumi,” katanya.

Bagi penggemar emas, pembelian barang kemas tidak dianggap suatu pembaziran sebaliknya pelaburan, kerana jika keadaan terdesak barang kemas tersebut boleh dijual balik terutama ketika harga emas meningkat.
Bagi Wan Aishah Wan Ahmad, 71, minatnya terhadap barang kemas bermula seawal usia remaja kerana keluarganya tergolong di kalangan peniaga emas yang menjalankan perniagaan emas dengan peniaga dari Thailand melalui sistem bata.
Bermula dari situ, katanya, dia mula berminat dengan barang kemas sehingga akhirnya berkecimpung dalam perniagaan tersebut pada usia 30-an di Mekah.
“Bila lihat emas cantik, saya beli selepas itu jual balik untuk beli tanah. Pelaburan seperti itu lebih baik. Kita tidak pakai emas sepanjang masa, hanya masa musim perayaan atau pergi kenduri-kendara,” katanya.
Seorang peniaga makanan ringan, Salma Yunus, 58, pula memberitahu, dia sudah berpuluh tahun sentiasa mengamalkan sikap berjimat-cermat semata-mata untuk membeli emas.

“Sampai satu masa, saya beli emas untuk disimpan dan kemudian dijual bagi dijadikan modal oleh anak-anak memulakan perniagaan,” katanya yang mempunyai 10 orang anak berusia berusia antara 19 dan 40 tahun.
Jelas Salma, membeli emas sebenarnya satu pelaburan jangka panjang terutama pada saat mengalami masalah kewangan.
“Dulu emas kita beli untuk melawa, tetapi sekarang sudah tua dan keadaan sekarang juga bahaya jika terlalu menonjol memakainya di tempat awam,” katanya.

Cerita Emas

Gaddafi mungkin jual simpanan emas Libya

 

MILAN 25 Ogos - Bekas Gabenor Bank Pusat Libya, Farhat Bengdara mendakwa Muammar Gaddafi akan cuba menjual sebahagian daripada simpanan emas Libya bagi membayar kos mendapatkan perlindungan dan menaja usaha menghuru-harakan hubungan antara puak di negara ini.
Bengdara yang menyokong gerakan pemberontak berkata, sekutu Gaddafi sebelum ini menawarkan 25 tan emas kepada seorang rakannya tidak lama dahulu.
''Rakan saya merujuk penjualan itu kepada saya dan saya mencadangkan mereka menolaknya. Tetapi ia merupakan petunjuk yang jelas,'' katanya kepada akhbar Itali, Corriere della Sera hari ini.
Beliau berkata, rakannya itu bukan seorang warga Libya, namun tidak memberikan maklumat lanjut.
''Simpanan emas bernilai AS$10 bilion (RM30 bilion) berada di Tripoli dan Gaddafi telah mengambil sejumlah daripadanya,'' ujarnya.
Bengdara percaya Gaddafi sudah meninggalkan Tripoli dan kini menuju ke sempadan Algeria.
''Kini, beliau akan membayar sejumlah puak dan kumpulan militan bagi mendapat perlindungan dan mewujudkan keadaan huru-hara,'' ujarnya.
Bekas Gabenor Bank Pusat yang kini Pengarah bank UniCredit Itali berkata, Libya memerlukan AS$5 hingga AS$7 bilion (RM15 hingga RM21 bilion) sebagai pinjaman berterusan untuk memulakan semula sistem bank dan membayar import.
''Libya tidak memerlukan peminjam kerana ia merupakan sebuah negara kaya. Aktiviti negara daripada Pihak Berkuasa Pelaburan, bank pusat dan simpanan emas bernilai AS$168 bilion. Tetapi semua itu telah dibekukan,'' ujarnya.
Beliau berkata, ia akan memakan masa berbulan-bulan dan satu resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mencairkannya. - REUTERS

Selasa, 23 Ogos 2011

Meningkat Sehingga 31%!

Harga emas terus tinggi
Oleh Mahanum Abdul Aziz

2011/08/23

Melonjak ke paras RM180 segram

HARGA emas terus melonjak ke paras tertingginya dalam sejarah iaitu pada AS$1,888.90 seaun atau kira-kira RM180 segram semalam berikutan kebimbangan berterusan kemungkinan ekonomi Amerika Syarikat (AS) mencatatkan kemelesetan
berganda, di samping krisis hutang di Eropah yang semakin meruncing.
Keadaan pasaran yang tidak menentu ketika ini menggalakkan pelabur memilih untuk melabur dalam logam berharga itu kerana ia antara pelaburan lindung nilai yang terbaik ketika krisis ekonomi. Ketua Penyelidik Affin Investment Bank, Dr Nazri Khan, berkata pihaknya menjangkakan harga emas bakal mencecah paras AS$1,900 seaun dalam tempoh terdekat berikutan kelemahan dolar AS secara berterusan dan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi sekali lagi di AS.

Beliau berkata, pihaknya juga melihat harga emas mempunyai potensi untuk mencecah paras AS$2,000 seaun menjelang akhir tahun ini berikutan permintaan tinggi terhadap logam berharga itu kerana pelabur lebih gemar melabur dalam emas ketika ketidaktentuan pasaran dunia.
“Penurunan penarafan hutang AS menggalakkan pemegang bon AS menjual pegangan masing-masing dan membeli emas. Kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi baru di AS serta kelemahan dolar juga mendorong harga emas untuk melonjak ke paras tertinggi,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Kebanyakan penganalisis pasaran sebelum ini menjangkakan permintaan bagi emas akan terus meningkat pada masa depan terutama dari China dan India didorong peningkatan pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu.
Mereka melihat keadaan tidak menentu di AS dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing.

“Prospek ekonomi AS yang malap berserta data ekonomi yang lemah ditambah krisis hutang Eropah yang semakin meruncing telah mendorong harga emas terus melonjak lebih daripada sukuan sejak Julai lalu,” jelas seorang penganalisis pasaran.

“Kami tidak melihat sebarang faktor positif yang dapat menyokong ekonomi AS dalam tempoh beberapa bulan ini,” tambahnya.

Akhir tahun lalu, harga emas ditutup pada AS$1,421.40 seauns, naik kira-kira 31 peratus berbanding 2009 didorong permintaan berterusan dari China dan jangkaan spekulator bahawa mereka akan meraih untung lebih daripadanya.

sumber: berita harian

Jumaat, 12 Ogos 2011

Makin Naik Nampaknya!

Harga emas lepasi paras AS$1,800 seaun

NEW YORK 11 Ogos - Harga emas dunia melepasi paras AS$1,800 (RM5,400) seaun semalam buat pertama kalinya selepas pelabur menarik keluar pelaburan mereka bagi membeli kontrak komoditi itu.
Emas menjadi kegemaran pelabur bagi berhadapan dengan keadaan pasaran yang tidak menentu pada masa ini.
Sementara itu, di awal dagangan pasaran emas Asia, komoditi tersebut melonjak ke paras tertinggi AS$1,814.50 (RM5,443.50) hingga AS$1,815.50 (RM5,446.50) seaun.

Rekod itu dicatatkan selepas pasaran ekuiti Asia menjunam pada dagangan awal, dengan Tokyo kerugian sehingga dua peratus, Seoul pula jatuh sebanyak empat peratus dan Sydney didagangkan 1.5 peratus lebih rendah.
Para pelabur telah dikejutkan dengan kemungkinan penurunan taraf kredit Perancis yang berada dalam keadaan terumbang-ambing selepas penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) diturunkan untuk pertama kalinya.

Khabar angin tentang penurunan taraf kredit Perancis itu timbul ekoran masalah yang dihadapi oleh beberapa bank di negara itu dan menguatkan lagi kebimbangan krisis hutang zon Eropah yang telah merebak.

Pelabur-pelabur bimbang bahawa Itali dan Sepanyol akan menjadi negara seterusnya yang tidak mampu membayar hutang mereka.
 
Sistem kewangan Eropah berada dalam keadaan buruk disebabkan oleh pihak bank yang memegang bon negara-negara yang mempunyai hutang besar seperti Greece dan Portugal.
Para pelabur dilihat berpaut kepada apa yang mereka rasakan sebagai pelindung nilai berbanding turun naik pasaran saham dan mata wang.

Komoditi itu pernah didagangkan sekitar AS$900 (RM2,700) pada musim panas 2008 sebelum krisis kewangan berlaku pada tahun itu. - Agensi

Sumber: Utusanonline

Khamis, 11 Ogos 2011

Bersedia Awal, Sebelum Meleset

Impak lebih teruk jika meleset?


Ketika dalam kemelesetan, emas menjadi satu bentuk pelaburan lebih menarik kerana dianggap selamat dan bernilai tinggi.


SINGAPURA 10 Ogos - Ekonomi Asia yang masih lagi merasai keperitan kesan kemelesetan ekonomi global pada 2008 mungkin terpaksa bergelut dengan situasi yang lebih teruk daripada tiga tahun lalu, menurut penganalisis serantau.
Kebimbangan akan berlaku kemelesetan ekonomi sekali lagi semakin memuncak selepas penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) diturunkan buat kali pertama dan pasaran menjunam seperti yang dijangkakan.
Itali dan Sepanyol pula dijangka akan 'menyertai' negara-negara Eropah yang lain bagi mencari bantuan kewangan.
''Pada 2008, hutang lapuk di bank-bank merupakan masalah utamanya.

''Kerajaan-kerajaan berhutang dengan bank-bank dan berbelanja banyak wang untuk ekonomi dan sekarang mereka terpaksa menanggungnya.
''Sebab itu keadaan semakin teruk berbanding sebelum ini dan tiada siapa dapat menolong mengatasinya,'' menurut Bank DBS.
Perbelanjaan rangsangan semasa krisis 2008 oleh sembilan ekonomi Asia Timur termasuk China dan Jepun ekoran bergantung kepada permintaan AS dan Eropah berjumlah AS$1.3 trilion (RM3.9 trilion), menurut anggaran Bank Pembangunan Asia.
Rizab Persekutuan AS telah menyuntik lebih AS$1 trilion dolar dalam ekonomi selepas krisis 2008 dan menambah lebih AS$600 bilion (RM1.8 trilion) pada 2010.
Rizab Singapura negara terkaya di Asia susut buat kali pertama 2009 apabila ekonomi negara itu mengalami kemelesetan teruk sejak kemerdekaan, sebelum kembali kukuh dan berkembang sebanyak 14.5 peratus pada 2010.

Kejatuhan pasaran saham Asia Isnin lalu menyebabkan Singapura menyemak semula pertumbuhan ekonomi 2011 daripada lima hingga tujuh peratus kepada lima hingga enam peratus disebabkan ketidaktentuan dalam unjuran global.
Standard & Poor pula berkata, kapasiti fiskal bagi Jepun, India, Malaysia, Taiwan dan New Zealand telah merosot kepada tahap pra 2008.
''Sekiranya keadaan semakin terjejas, ia boleh menyebabkan impak lebih teruk berbanding sebelum ini,'' kata agensi itu.
Sistem kewangan serantau mungkin berhadapan dengan pengurangan kecairan dan meningkatkan risiko pembiayaan semula dalam tempoh sederhana memandangkan kos pinjaman bertambah.
Asia akan mengalami kesan pelbagai tahap memandangkan kerajaan-kerajaan dipaksa untuk menggunakan imbangan kira-kira bagi menyokong sektor kewangan, tambah S&P.
''Implikasi bagi kebolehpercayaan berdaulat di Asia Pasifik akan menjadi negatif berbanding pengalaman sebelumnya dan lebih banyak tindakan penarafan negatif akan mengikut,'' katanya.
DBS berkata, apabila para pelabur mula 'menghidu' kerajaan-kerajaan juga berada dalam situasi kekangan seperti mereka, emas mula menjadi lebih menarik.

''Dan kesan kepada ekonomi sebenar, seperti 2008/09, boleh menjadi dramatik,'' tambahnya.
Bagaimanapun, Ketua Ekonomi Asia Pasifik IHS Global Insight, Rajiv Biswas masih mengekalkan pendapatnya bahawa bank-bank pusat di rantau ini bersedia untuk berhadapan dengan krisis lain, hasil pengalaman 2008.
Menurut beliau, bank-bank pusat di rantau ini telah membangunkan mekanisme sokongan lebih kuat untuk memastikan kestabilan sistem kewangan dan peruntukan sokongan instrumen kecairan dalam institusi-institusi kewangan.

''Kali ini, mekanisme masih digunakan dan bank-bank pusat lebih banyak pengalaman untuk menangani masalah berkaitan kecairan dalam sistem kewangan mereka,'' tambah Biswas.
Pengukuhan berterusan ekonomi China dan Jepun boleh mengekang kesan krisis hutang di AS dan Eropah kepada Asia, ujarnya. - AFP.

Selasa, 9 Ogos 2011

Masa Beralih kepada Emas Tiba

Krisis ekonomi global dorong pelabur pilih emas

ISU ketidakseimbangan global sering di kaitkan dengan kedudukan defisit akaun semasa Amerika Syarikat (AS) serta pelarasan yang seharusnya berlaku terhadap kadar tukaran wang asing global khususnya bagi negara Asia.  

Kebimbangan ini berdasarkan risiko terhadap aliran modal masuk yang selama ini menjadi tonggak kepada imbangan pembayaran AS.
Jika berlaku pengeluaran aliran modal secara besar-besaran, maka ia akan memberi kemudaratan kepada ekonomi AS, sekali gus kepada ekonomi dunia.
Terdapat kajian akademik yang mencadangkan supaya pelarasan ini perlu berlaku melalui penyusutan nilai mata wang asing AS, diikuti peningkatan nilai mata wang negara lain khususnya Asia.

Ia berdasarkan fakta bahawa kebanyakan negara Asia mempunyai lebihan akaun semasa yang tinggi berikutan nilai eksportnya yang sentiasa melebihi import.

Justeru, pelbagai kritikan dilemparkan terhadap mata wang Asia khususnya China supaya nilainya dinaikkan ke paras lebih sesuai.

Padahal, kebanyakan negara barat seperti AS, Greece dan Portugal mempunyai pegangan emas yang tinggi, sekali gus menandakan nilai sokongan terhadap mata wang ini adalah kukuh memandangkan ia bersandarkan kepada satu nilai yang tinggi.

Perangkaan terbaru di keluarkan World Gold Council (WGC) menunjukkan peratusan pegangan emas terhadap rizab antarabangsa bagi negara seperti Portugal, Greece dan AS masing-masing adalah 81.0 peratus, 79.3 peratus dan 74.6 peratus pada suku pertama 2011.

Situasi ini amat berbeza jika di bandingkan dengan negara Asia yang mana pegangan emasnya adalah jauh lebih rendah, iaitu sekitar 0.0 peratus hingga 8.4 peratus.

Persoalannya, adakah ketidakseimbangan global hanya perlu di selesaikan melalui pelarasan dalam kadar tukaran asing semata-mata?

Perlukah bank pusat Asia mula meningkatkan pegangan emasnya bagi memastikan mata wang masing-masing sentiasa di sokong oleh satu nilai yang kukuh?
Bagi persoalan pertama, sudah tentu pelarasan mata wang bukan jalan penyelesaian mutlak. Perubahan struktur ekonomi di AS juga perlu berlaku seperti peningkatan kadar tabungan serta nilai eksport bagi memperbaiki ketidakseimbangan global ini.

Pastinya, proses itu akan mengambil masa panjang memandangkan saiz perbelanjaan swasta AS yang besar, iaitu sekitar 70 peratus sejak 1929.

Bagi persoalan kedua pula, usaha untuk meningkatkan pegangan emas oleh bank pusat di Asia perlu di lihat sebagai langkah bijak berikutan pelaburan dalam sekuriti hutang seperti bil perbendaharaan AS tidak stabil.

Perkara itu penting kerana setiap wang yang diterbitkan bank pusat adalah liabiliti yang di sandarkan kepada nilai asetnya.

Jika aset itu tidak mempunyai nilai stabil, maka sokongan atau sandaran wang yang di keluarkan juga adalah lemah.
Umum mengetahui, harga emas mencatatkan nilai tertinggi pada paras AS$1,600 seauns baru-baru ini.

Terdapat beberapa faktor penyumbang terhadap kenaikan harga emas seperti inflasi yang tinggi serta ketidakpastian ekonomi global seperti krisis hutang negara Eropah yang mampu menggugat pertumbuhan ekonomi dunia.

Faktor seperti permintaan dan penawaran juga memainkan peranan penting dalam penentuan harga emas.

Pada 2010, permintaan emas mencatatkan pertumbuhan 9.8 peratus berbanding pertumbuhan penawaran emas iaitu 1.8 peratus.
Kebanyakan permintaan emas ini adalah bagi tujuan barang kemas yang mewakili 51 peratus daripada jumlah keseluruhan permintaan.

Selebihnya, adalah untuk pelaburan iaitu 37 peratus dan penggunaan industri dan pergigian yang mewakili 12 peratus daripada keseluruhan permintaan.

Justeru, prospek bagi harga emas adalah baik memandangkan permintaannya yang tinggi serta kedudukannya sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dan ketidakpastian dalam suasana pelaburan dunia.
Berdasarkan ini, dolar AS masih di anggap mempunyai nilai sandaran yang baik memandangkan pegangan emas bank pusat adalah tinggi.

Justeru, andaian bahawa penurunan nilai dolar AS seperti yang di sarankan oleh pihak tertentu, mungkin tidak akan berlaku secara mendadak.

Di samping itu, bank pusat Asia mungkin perlu memikirkan strategi untuk meningkatkan pegangan emas memandangkan ketidaktentuan pasaran serta kitaran perniagaan yang semakin pendek akan menjejaskan nilai pegangan sekuriti hutang kerajaan negara maju.
Penulis ialah Penganalisis Ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd 

sumber: Berita Harian 

Kesimpulan
Apabila kenaikan inflasi dan kegawatan ekonomi berlaku atau kejatuhan nilai sesuatu matawang, maka ekonomi sesebuah negara akan jadi lemah. Samalah seperti kita, jika ekonomi jatu, kadar inflasi meningkat, harga barangan juga meningkat. Wang simpanan masih lagi nilai yang sama. Maka berlakulah kegawatan ekonomi. Ini menyebabkan kuasa membeli kita menjadi lemah kerana mata wang yang digunakan mempunyai nilai yang lemah. Tetapi jika mata wang itu disandarkan kepada emas. Maka kekuatan nilai itu masih lagi sama dan malah boleh menjadi lebih kukuh.   

Khamis, 4 Ogos 2011

Pajak Gadai Islam Untuk Umat Islam

Jangan malu guna pajak gadai Islam - Kamaruzaman


Che Razali Ibrahim (kiri) menyerahkan surat permohonan menjadi francais Ar Rahnu X'Change kepada Kamaruzaman Che Mat di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 31 Julai - Masyarakat terutamanya golongan berpendapatan kecil dan sederhana diminta tidak malu menggunakan perkhidmatan pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu daripada bergantung kepada pinjaman peribadi untuk mendapatkan wang tunai segera.

Pengarah Urusan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat), Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, amalan 'pajak gadai' bukanlah sesuatu yang perlu dimalukan kerana ia membabitkan suatu penawaran harta yang dimiliki sendiri oleh peminjam.
"Jangan malu kerana barang kemas yang kita gadaikan itu adalah harta menjadi milik kita. Keadaan itu sebenarnya lebih baik berbanding kalau kita pergi ke bank atau syarikat kewangan meminta pinjaman dengan salinan slip gaji sebagai bukti gaji yang mungkin kita dapat di masa hadapan.

"Daripada kita terus menyimpannya di rumah dengan risiko dicuri yang tinggi, lebih baik kita gadaikan untuk membantu kita di saat kita terdesak mendapatkan wang.
"Peniaga kecil wanita terutamanya boleh menggadai bahan kemas mereka untuk pusingan modal dan dalam tempoh tertentu boleh menebus semula apabila perniagaan berjalan baik," katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong Ke-30 di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Ibrahim Mat; Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Puteri Saadong, Che Razali Ibrahim dan Pengurus Besar PPK Puteri Saadong, Ahmad Zamani Muhamad.
Kamaruzaman berkata, masyarakat terutama beragama Islam sewajarnya memilih sistem Ar-Rahnu yang terbukti tidak menindas peminjam berbanding sistem konvensional.
"Walaupun prosesnya mungkin sedikit lambat berbanding pajak gadai biasa kerana memerlukan proses pengesahan ketulenan emas yang teliti, tetapi keadilan kepada peminjam adalah terjamin," katanya.
Beliau berkata, selain perkhidmatan melalui kaunter di 128 cawangannya, Bank Rakyat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Rakyat Management Services Sdn. Bhd. (RMS) turut mempunyai rangkaian 26 francais pajak gadai Islam Ar Rahnu X'Change yang menawarkan perkhidmatan itu di seluruh negara.

sumber: Utusanonline

Dollar US jatuh! Rizab Emas US meningkat!

Korea beli emas AS$1b lindungi ekonomi

SEOUL 2 Ogos - Korea Selatan memperuntukan lebih AS$1 bilion bagi pembelian pertama emas dalam tempoh lebih sedekad ekoran ketidaktentuan pertumbuhan global dan tekanan hutang berdaulat bank-bank pusat dunia untuk mempelbagaikan rizab asingnya.

Bank of Korea berkata, pembelian terkini itu bernilai AS$1.24 bilion (RM3.596 bilion).
Pemulihan ekonomi global yang rapuh dan syarat-syarat hutang yang bahaya di Amerika Syarikat dan Eropah telah meningkatkan perlindungan selamat bagi emas sehingga mencecah rekod tertinggi pada Jumaat lalu.
Bank of Korea berkata, pihaknya telah membeli 25 tan emas sejak dua bulan lalu, meningkatkan jumlah emas yang ada kepada 39.4 tan.

Rizab mata wang seperti dolar dan euro telah mencatatkan kerugian sejak krisis kewangan global disebabkan polisi monetari yang tidak normal ekoran masalah defisit fiskal.
Data melibatkan 27 ekonomi utama daripada Bank Penyelesaian Antarabangsa menunjukkan nilai efektif penyelarasan inflasi dolar telah merosot sebanyak 10 peratus dalam tempoh dua tahun dan euro pula enam peratus, menggambarkan kenaikan dalam pusingan setiap mata wang.

Bagaimanapun, pegangan emas Korea Selatan masih terlalu kecil berbanding Bank-Bank Pusat Asia - dengan China menduduki tempat keenam, memiliki emas terbesar iaitu 1,054.1 tan pada akhir Mei lalu, menurut data Majlis Emas Dunia. 

''Bank Pusat Korea Selatan agak terlewat tetapi para pelabur emas menjangka harga sokongan terus berlaku memandangkan bank-bank pusat di dunia ini masih kurang membuat pelaburan dalam emas,'' kata Ketua Asset Great Pacific Wealth Management, Sean McGillivray.
Bank of Korea berkata, ia merupakan pembelian pertama emas sejak 1997/98 untuk meningkatkan rizab asing.

Amerika Syarikat adalah negara terbesar memiliki emas dalam rizabnya iaitu 8,133.5 tan atau 74.7 peratus daripada jumlah rizab. - Reuters

Sumber: Utusanonline

kesimpulan:
Emas sebenarnya penting dalam pelaburan dan dapat mengekang kejatuhan nilai mata wang tersebut. Jika kita menyimpan wang yang banyak sekalipun, belum tentu lagi selamat kerana apabila ekonomi jatuh, maka nilai wang kita semakin rendah seperti mana yang berlaku kepada negara zimbawe. Walaupun Amerika Syarikat mengalami kejatuhan dolar yang semakin teruk, tetapi negaranya mempunyai back up yang kuat iaitu memiliki rizab emas yang terbesar di dunia berbanding negara lain. Oleh itu, ekonominya masih lagi selamat. Jadi, untuk menjamin masa depan kita yang lebih selamat, kita perlulah mempunyai rizab kita yang tersendiri sebagai cagaran di masa hadapan.

Kemelesetan Ekonomi ?

Jadi kebimbangan di Asia Pasifik

Dolar AS dijangka melonjak selain bank-bank goyah sekali gus menjejaskan pemulihan ekonomi negara kuasa besar dunia sekiranya kemelut Eropah gagal ditangani. Keadaan ini akan turut memberikan kesan kepada China dan seterusnya negara-negara di Asia Pasifik. - REUTERS


KUALA LUMPUR 3 Ogos - Ketidaktentuan ekonomi di zon Eropah menyebabkan lebih satu pertiga daripada eksekutif perniagaan rantau Asia Pasifik percaya ia akan menyebabkan risiko besar kepada ekonomi global dalam tempoh enam bulan lagi.

Tinjauan dilakukan oleh Economist Intelligence Unit membabitkan lebih 330 eksekutif perniagaan termasuk setiap 100 individu dari Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik yang terlibat dalam sektor perkhidmatan kewangan dan wakil syarikat-syarikat dengan pendapatan tahunan melebihi AS$500 juta (RM1.5 bilion).

Laporan tinjauan itu mendapati, ketidakstabilan di Eropah menjadi kebimbangan utama di kalangan eksekutif berbanding faktor-faktor risiko lain.
Manakala kemelesetan ekonomi lebih ketara menjadi kebimbangan kedua oleh 18 peratus responden diikuti oleh kenaikan harga aset di China sebanyak 11 peratus.
Sejumlah lapan peratus responden pula menyatakan rasa khuatir terhadap kenaikan harga komoditi, kenaikan kadar faedah tujuh peratus dan kenaikan harga minyak enam peratus.

''Semasa kami melakukan tinjauan ini setahun lalu, ketidakstabilan di zon euro hanya diberi penarafan risiko lapan peratus,'' kata Editor Economist Intelligent Unit, Iain Scott.
Namun, pada situasi semasa masalah di Eropah kini menjadi kebimbangan global.

''Ketidakstabilan zon euro menjadi kebimbangan besar kepada para eksekutif - bukan sahaja di Eropah tetapi di rantau Asia Pasifik dan juga di Amerika Syarikat (AS),'' tambahnya.
Economist Intellingence Unit pula mengunjurkan krisis ekonomi telah mendedahkan kelemahan paling serius di zon euro.
Kebarangkalian perpisahan di kalangan zon Eropah adalah rendah tetapi sekiranya ia berlaku akan mengakibatkan ketidakstabilan dalam ekonomi global.

Bank-bank boleh goyah dan dolar AS akan melonjak, sekali gus menjejaskan pemulihan ekonomi negara kuasa besar itu. Malah memberi kesan kepada China, yang mana mata wangnya akan ditambat dengan dolar AS.
Dalam tinjauan itu, beberapa responden turut berpendapat tarikh akhir berhubung had hutang Kerajaan AS pada 2 Ogos lalu turut mewujudkan kebimbangan.
Malah, Economist Intelligence Unit mengunjurkan kejatuhan dolar AS disebabkan kebimbangan mengenai defisit fiskal yang besar, mengakibatkan kebanyakan pelabur menjauhi mata wang itu adalah sangat tipis.
Mengulas mengenai risiko terhadap perniagaan dalam tempoh enam bulan lagi, sejumlah 42 peratus responden dari Asia Pasifik mengakui risau dengan ekonomi dan risiko pasaran dan 31 peratus lagi khuatir mengenai inflasi dan kelemahan dalam permintaan produk dan perkhidmatan.

Sejumlah besar responden melihat risiko politik akan memberi kesan buruk.
Para eksekutif di Asia Pasifik lebih bimbangkan mengenai risiko inflasi berbanding responden dari Eropah dan Amerika Utara dan 16 peratus pula bimbang kekurangan tenaga mahir akan memberi kesan kepada perniagaan mereka.
Tinjauan itu membuat kesimpulan bahawa ekonomi global akan kekal perlahan disebabkan beberapa kejutan seperti harga minyak dan bencana alam yang menjejaskan Jepun.
Tetapi Economist Intelligent Unit percaya masih ada jalan keluar daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi sekali lagi.
Sumber: Utusanonline

Selasa, 2 Ogos 2011

Pelaburan Emas Terus Meningkat

Prestasi harga emas diunjur terus melonjakOleh Mahanum Abdul Aziz
mahanum@bharian.com.my
2011/08/02

Pelaburan dijangka beri pulangan 24 peratus setahun
PELABURAN dalam emas diunjurkan mampu memberikan pulangan sehingga 24 peratus setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan harga logam berharga itu dijangkakan mencecah AS$2,100 seauns menjelang 2014.
Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank (Stanchart), Steve Brice, berkata permintaan bagi emas dijangkakan terus meningkat terutama dari China serta India berikutan peningkatan pendapatan boleh guna di kedua-dua negara itu.
Beliau berkata, keadaan ekonomi global yang tidak menentu berikutan masalah hutang di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang berlarutan juga menggalakkan bank pusat seluruh dunia meningkatkan rizab emas masing-masing.

“Kami yakin dengan prestasi harga emas berikutan permintaannya dijangka terus meningkat kerana pelabur melihat komoditi itu sebagai pelaburan lindung nilai,
” katanya pada taklimat media mengenai jangkaan pelaburan separuh kedua di Kuala Lumpur, semalam.

Brice berkata, pihaknya menjangkakan harga emas mampu mencecah paras AS$1,650 seauns menjelang akhir tahun ini.

Keadaan persekitaran kadar faedah benar yang negatif di AS juga mendorong kepada peningkatan permintaan emas kerana kebiasaannya ia sangat tinggi ketika kadar faedah benar adalah negatif, jelasnya.
“Dalam tempoh Disember 2007 hingga kini, emas mencatatkan pulangan terkumpul sebanyak 43 peratus,” katanya.

Harga emas terus didagangkan kukuh mencecah AS$1,632.30 seauns Jumaat lalu berikutan data ekonomi yang lemah di AS.

Bagaimanapun, harganya jatuh 0.7 peratus kepada AS$1,615.19 pada sesi dagangan semalam berikutan persetujuan pemimpin kongres AS untuk menaikkan had hutang dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan bagi mengelak potensi gagal membayar hutang.

Selain emas, Brice berkata, pelaburan pasaran ekuiti juga dijangka memberi pulangan baik dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Beliau berkata, di sebalik keadaan tidak menentu di pasaran dunia, pasaran ekuiti masih mencatatkan prestasi baik berbanding kelas aset lain.

“Pada separuh pertama tahun ini, pasaran ekuiti mampu mencatatkan aliran meningkat walaupun ada beberapa berita buruk di pasaran seperti krisis hutang di Eropah dan AS, gempa bumi di Jepun serta krisis politik di Asia Barat.

“Ini bermakna terdapat kecairan di dalam pasaran kewangan dunia ketika ini yang menggalakkan aktiviti pelaburan,” tambahnya.

Beliau berkata pasaran ekuiti di China, Korea, Taiwan dan Jepun dijangka menarik perhatian pelabur asing kerana harga sahamnya sangat murah serta menawarkan pulangan yang menarik jika dibandingkan dengan pasaran saham lain. 

sumber: berita harian

Kesimpulan:
Pelaburan yang selamat dan menguntungkan adalah emas. Jika pelaburan melibatkan wang simpanan, maka ia memberikan kesan yang besar kepada pelaburan itu. Ini kerana wang yang dilaburkan itu sebenarnya bersandarkan kepada dollar Amerika. Dengan keadaan ekonomi US yang tidak menentu dan menyebabkan kejatuhan nilai. Maka kemingkinan berlaku kemelesetan ekonomi, maka wang simpanan dan pelaburan bersandarkan wang semata-mata akan menjadi lemah. Bukan mendapat untung lagi tetapi boleh membawa kepada kerugian.

Krisis Ekonomi US

Ekonomi AS bakal tenat?


Krisis ekonomi dan hutang yang berlaku di Amerika Syarikat telah menggugat keyakinan terhadap kepimpinannya di peringkat global. Ahli-ahli bank antarabangsa bimbang kegagalan negara itu boleh menjejaskan nilai dolar yang menjadi mata wang rizab dunia, sekali gus menjejaskan ekonomi dari Asia ke Afrika dan kemungkinan mengakibatkan pergolakan politik.


KUALA LUMPUR 1 Ogos - Amerika Syarikat (AS) diramal terjerumus dalam kemelesetan ekonomi lebih buruk menjelang suku keempat tahun ini.
MIDF Research dalam nota penyelidikannya berkata, pengurangan bajet yang menyaksikan penurunan dalam perbelanjaan oleh kerajaan AS bakal mengakibatkan masalah sebenar dalam ekonomi negara itu.
''Berdasarkan perkembangan semasa, kemungkinan AS mengalami kemelesetan lebih teruk pada suku keempat tahun ini atau awal 2012.

''Tahap kemelesetan lebih teruk sekiranya kerajaan AS mengurangkan bajet dengan agresif,'' katanya.
Negara kuasa besar itu mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua 2011 kepada 1.3 peratus suku ke suku, jauh lebih rendah daripada jangkaan 1.9 peratus.
Prestasi itu menunjukkan AS masih belum bangkit daripada kemelesetan ekonomi.
Firma penyelidikan tersebut berkata, prestasi ekonomi AS tidak banyak berubah disebabkan perbelanjaan pengguna yang mewakili 70 peratus ekonomi negara itu masih lemah.

Arah hala perbelanjaan itu menyaksikan penurunan 4.4 peratus dalam pembelian barangan tahan lasak seperti automobil, sebaliknya berbelanja tinggi untuk makanan dan bahan api.
Keadaan semasa itu dijangka memberi tekanan kepada Rizab Persekutuan AS untuk melaksanakan pendekatan tambahan termasuk menerbitkan Kemudahan Kuantitatif 3 (QE3), tambahnya.
Sementara itu, OSK DMG turut menyifatkan data KDNK AS begitu lemah telah mendorong pelbagai spekulasi berlaku ke arah kemelesetan yang lebih ketara.

Bagaimanapun katanya, kemungkinan berlakunya kemelesetan dalam tempoh enam hingga 12 bulan masih lagi rendah kerana secara kasar kebarangkalian adalah kurang daripada 20 peratus.
Namun, fiskal AS mempunyai potensi untuk mendorong satu kejutan negatif terhadap keyakinan dan keadaan pasaran kewangan, dengan itu secara material akan menaikkan kemungkinan berlaku kemelesetan.

Sumber: utusanonline