Jadi kebimbangan di Asia Pasifik
|
KUALA LUMPUR 3 Ogos - Ketidaktentuan ekonomi di zon Eropah menyebabkan lebih satu pertiga daripada eksekutif perniagaan rantau Asia Pasifik percaya ia akan menyebabkan risiko besar kepada ekonomi global dalam tempoh enam bulan lagi.
Tinjauan dilakukan oleh Economist Intelligence Unit membabitkan lebih 330 eksekutif perniagaan termasuk setiap 100 individu dari Amerika Utara, Eropah dan Asia Pasifik yang terlibat dalam sektor perkhidmatan kewangan dan wakil syarikat-syarikat dengan pendapatan tahunan melebihi AS$500 juta (RM1.5 bilion).
Laporan tinjauan itu mendapati, ketidakstabilan di Eropah menjadi kebimbangan utama di kalangan eksekutif berbanding faktor-faktor risiko lain.
Manakala kemelesetan ekonomi lebih ketara menjadi kebimbangan kedua oleh 18 peratus responden diikuti oleh kenaikan harga aset di China sebanyak 11 peratus.
Sejumlah lapan peratus responden pula menyatakan rasa khuatir terhadap kenaikan harga komoditi, kenaikan kadar faedah tujuh peratus dan kenaikan harga minyak enam peratus.
''Semasa kami melakukan tinjauan ini setahun lalu, ketidakstabilan di zon euro hanya diberi penarafan risiko lapan peratus,'' kata Editor Economist Intelligent Unit, Iain Scott.
Namun, pada situasi semasa masalah di Eropah kini menjadi kebimbangan global.
''Ketidakstabilan zon euro menjadi kebimbangan besar kepada para eksekutif - bukan sahaja di Eropah tetapi di rantau Asia Pasifik dan juga di Amerika Syarikat (AS),'' tambahnya.
Economist Intellingence Unit pula mengunjurkan krisis ekonomi telah mendedahkan kelemahan paling serius di zon euro.
Kebarangkalian perpisahan di kalangan zon Eropah adalah rendah tetapi sekiranya ia berlaku akan mengakibatkan ketidakstabilan dalam ekonomi global.
Bank-bank boleh goyah dan dolar AS akan melonjak, sekali gus menjejaskan pemulihan ekonomi negara kuasa besar itu. Malah memberi kesan kepada China, yang mana mata wangnya akan ditambat dengan dolar AS.
Dalam tinjauan itu, beberapa responden turut berpendapat tarikh akhir berhubung had hutang Kerajaan AS pada 2 Ogos lalu turut mewujudkan kebimbangan.
Malah, Economist Intelligence Unit mengunjurkan kejatuhan dolar AS disebabkan kebimbangan mengenai defisit fiskal yang besar, mengakibatkan kebanyakan pelabur menjauhi mata wang itu adalah sangat tipis.
Mengulas mengenai risiko terhadap perniagaan dalam tempoh enam bulan lagi, sejumlah 42 peratus responden dari Asia Pasifik mengakui risau dengan ekonomi dan risiko pasaran dan 31 peratus lagi khuatir mengenai inflasi dan kelemahan dalam permintaan produk dan perkhidmatan.
Sejumlah besar responden melihat risiko politik akan memberi kesan buruk.
Para eksekutif di Asia Pasifik lebih bimbangkan mengenai risiko inflasi berbanding responden dari Eropah dan Amerika Utara dan 16 peratus pula bimbang kekurangan tenaga mahir akan memberi kesan kepada perniagaan mereka.
Tinjauan itu membuat kesimpulan bahawa ekonomi global akan kekal perlahan disebabkan beberapa kejutan seperti harga minyak dan bencana alam yang menjejaskan Jepun.
Tetapi Economist Intelligent Unit percaya masih ada jalan keluar daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi sekali lagi.
Sumber: Utusanonline
Tiada ulasan:
Catat Ulasan