Khamis, 4 Ogos 2011

Pajak Gadai Islam Untuk Umat Islam

Jangan malu guna pajak gadai Islam - Kamaruzaman


Che Razali Ibrahim (kiri) menyerahkan surat permohonan menjadi francais Ar Rahnu X'Change kepada Kamaruzaman Che Mat di Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU 31 Julai - Masyarakat terutamanya golongan berpendapatan kecil dan sederhana diminta tidak malu menggunakan perkhidmatan pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu daripada bergantung kepada pinjaman peribadi untuk mendapatkan wang tunai segera.

Pengarah Urusan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat), Datuk Kamaruzaman Che Mat berkata, amalan 'pajak gadai' bukanlah sesuatu yang perlu dimalukan kerana ia membabitkan suatu penawaran harta yang dimiliki sendiri oleh peminjam.
"Jangan malu kerana barang kemas yang kita gadaikan itu adalah harta menjadi milik kita. Keadaan itu sebenarnya lebih baik berbanding kalau kita pergi ke bank atau syarikat kewangan meminta pinjaman dengan salinan slip gaji sebagai bukti gaji yang mungkin kita dapat di masa hadapan.

"Daripada kita terus menyimpannya di rumah dengan risiko dicuri yang tinggi, lebih baik kita gadaikan untuk membantu kita di saat kita terdesak mendapatkan wang.
"Peniaga kecil wanita terutamanya boleh menggadai bahan kemas mereka untuk pusingan modal dan dalam tempoh tertentu boleh menebus semula apabila perniagaan berjalan baik," katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Puteri Saadong Ke-30 di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Ibrahim Mat; Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Puteri Saadong, Che Razali Ibrahim dan Pengurus Besar PPK Puteri Saadong, Ahmad Zamani Muhamad.
Kamaruzaman berkata, masyarakat terutama beragama Islam sewajarnya memilih sistem Ar-Rahnu yang terbukti tidak menindas peminjam berbanding sistem konvensional.
"Walaupun prosesnya mungkin sedikit lambat berbanding pajak gadai biasa kerana memerlukan proses pengesahan ketulenan emas yang teliti, tetapi keadilan kepada peminjam adalah terjamin," katanya.
Beliau berkata, selain perkhidmatan melalui kaunter di 128 cawangannya, Bank Rakyat menerusi anak syarikat milik penuhnya, Rakyat Management Services Sdn. Bhd. (RMS) turut mempunyai rangkaian 26 francais pajak gadai Islam Ar Rahnu X'Change yang menawarkan perkhidmatan itu di seluruh negara.

sumber: Utusanonline

Tiada ulasan:

Catat Ulasan